ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya kembali bukan sekadar nak main, tapi menang untuk negara.”
Itu tekad pemain beregu lelaki negara, Haikal Nazri yang kini bangkit semula selepas tiga bulan berehat panjang susulan kecederaan serius di bahagian pinggul.
Kali ini, anak jati Bachok, Kelantan itu tampil dengan semangat baharu menjelang Terbuka Taiwan dari 6 hingga 11 Mei depan, bersama gandingannya, Choong Hon Jian.
Walaupun belum capai tahap terbaik, kehadiran ketua jurulatih beregu lelaki baharu, Herry Iman Pierngadi ternyata meniup semangat baharu buat Haikal apabila corak permainan diterapkan legenda dari Indonesia itu serasi dengan gayanya.
“Memang mencabar, tapi teknik ‘no lifting’ dan permainan pantas yang diterapkan jurulatih Herry sesuai dengan saya yang memang suka menyerang.
“Saya akan bantu Hon Jian dari belakang untuk hasilkan smash terbaik,” katanya.
Haikal mengakui latihan di bawah Herry bukan sekadar fizikal, tetapi juga mental.
Menurutnya, tekanan tetap ada, namun dia yakin mampu menyesuaikan diri demi membentuk kombinasi mantap di gelanggang.
Lebih manis, Haikal turut menyatakan penghargaan buat rakan gandingannya, Hon Jian yang sentiasa memberi sokongan ketika dia bergelut dengan kecederaan sebelum ini.
“Dia tak pernah tunjuk kecewa walaupun lama tunggu saya pulih. Kami saling faham dan itu kekuatan kami sebagai beregu,” katanya.
Haikal sebelum ini terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan penting termasuk Kejohanan Berpasukan Asia dan Terbuka Jerman selepas mengalami kecederaan Disember lalu.
Kini, dengan semangat juang baharu dan bimbingan jurulatih berpengalaman dunia, Haikal nekad untuk menjadikan Terbuka Taiwan sebagai pentas kebangkitan semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




