'Ayah pergi dengan tenang, pemergian ayah dicemburui'

'Ayah pergi dengan tenang, pemergian ayah dicemburui'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Al-Fatihah ayahku Abdul Malik Zakaria… Alhamdulillah ayah pegi (pergi) dengan tenang, sesungguhnya ayah pergi secara dicemburui. Syurga buatmu ayah,” kata anak kepada seorang lelaki yang meninggal dunia ketika menunaikan solat di Surau Al-Hidayah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Taman Daya, di sini, Isnin lalu.

Itulah perkongsian di media sosial ahli keluarga lelaki berkenaan termasuk anak lelakinya yang menjelaskan pemergiannya itu menjadi satu kehilangan tidak ternilai serta kenangan bersama bapanya itu sentiasa tersemat di hati.

Menurutnya, Allahyarham bapanya adalah seorang yang sangat mencintai masjid, suka membantu orang lain dan sentiasa mengutamakan keluarga.

Menerusi satu lagi perkongsian ahli keluarganya, kejadian itu berlaku di luar jangkaan.

“Arwah keluar mencari rezeki halal untuk keluarga dan akhirnya kembali kepada pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.

“Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanan hidupnya di dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.52 pagi selepas lelaki berkenaan yang berusia 59 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, pegawai perubatan yang dipanggil ke lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan bahawa lelaki itu sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memiliki sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi serta pernah menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan.

“Pihak keluarga memaklumkan tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dan bersetuju agar tiada bedah siasat dijalankan.

“Tiada siasatan lanjut dijalankan atas kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemergian Allahyarham Abdul Malik itu menyentuh hati ramai apabila pulang kepada pencipta ketika menunaikan solat.

Difahamkan, Allahyarham yang bekerja sebagai pengawal keselamatan rebah ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isyak di surau berkenaan.

Detik pemergian Allahyarham dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan sebelum video itu tular di TikTok dipercayai dikongsi oleh ahli keluarganya.

Video itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang turut menzahirkan ucapan takziah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top