am@hmetro.com.my
Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menghormati keputusan ayahnya, Tan Sri Noh Omar untuk kembali menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun Nurul Syazwani menegaskan beliau akan terus kekal dan teguh bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keputusan Noh kembali kepada UMNO disifatkan sebagai hak peribadi yang wajar dihormati, malah ia tidak akan menjejaskan pendirian politiknya sebagai wakil rakyat PN.
“Memang saya akur dan hormati keputusan abah (Noh) untuk kembali kepada UMNO.
“Sebab kita pun fahamlah, dia pun orang cakap ahli politik yang berpengalaman dan saya pasti tujuan dia ke sana demi misi penyatuan Melayu… Insya-Allah,” katanya kepada media ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Nurul Syazwani berkata, hubungan dengan bapanya tidak terjejas, malah mereka rapat dan kerap berbincang mengenai banyak perkara.
“Dalam perjalanan abah (Noh) untuk kembali kepada UMNO pun, memang dia ada berbincang dengan saya dan saya bagi pandangan secara terbuka, memandangkan abah ketika itu tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam BERSATU.
“Saya tahu ke mana pun abah pergi, jiwa beliau memang jiwa UMNO kerana sebahagian besar perjalanan politik abah dibina dalam parti berkenaan,” katanya.
Ditanya sama ada pada masa hadapan beliau mungkin mengikut jejak bapanya menyertai UMNO, Nurul Syazwani menegaskan beliau berpegang kepada amanah dan mandat yang diberikan rakyat ketika memilihnya sebagai wakil rakyat yang mewakili parti tertentu.
“Saya memegang mandat, satu amanah untuk saya bawa dan sudah pasti saya tidak boleh menggadaikan dan merosakkan harapan rakyat semata-mata kerana politik peribadi.
“Jadi bagi saya, biarlah apa terjadi pun, saya akan teguh berpegang membawa suara rakyat di Permatang dan juga di DUN ini,” katanya.
Nurul Syazwani juga menyerahkan kepada kepimpinan parti berhubung kedudukannya dalam pilihan raya akan datang selain percaya kepada ketentuan Allah dalam mencorak masa depan politiknya.
“Apa yang berlaku hari ini mungkin tidak menggembirakan sesetengah penyokong PN, namun saya serahkan kepada pucuk pimpinan BERSATU dan takdir mengenai hala tuju politik selepas ini.
“Saya sentiasa baik dengan semua pihak dan tidak pernah memusuhi UMNO dan parti lain. Ke mana hala tuju politik saya selepas ini, kita serahkan kepada ketentuan Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




