Kuala Terengganu: Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika dalam perjalanan pulang dari surau di Pengkalan Arang di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada 9.35 malam itu, mangsa, Ali Mohamaed, 77, yang menunggang motosikal Honda Wave meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Ford Ranger tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal keluar secara tiba-tiba, dari bahu kiri jalan dan melintas masuk ke laluan sama sebelum dirempuh Ford Ranger yang dari arah Kuala Terengganu ke Gong Badak.
“Mangsa dipercayai baru pulang dari surau maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




