Fauziah Latiff belum sedia kembali aktif, hanya terbabit kerjasama khas

Fauziah Latiff belum sedia kembali aktif, hanya terbabit kerjasama khas

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Penyanyi, Fauziah Latiff masih belum bersedia untuk kembali aktif secara solo melainkan ia adalah projek kolaborasi khas.

Fauziah, 54, ketika ditemui di majlis pengenalan single Tak Terpisah hasil kolaborasinya bersama penyanyi, JessC, berkata kali terakhir dia mengeluarkan single solo adalah pada tahun lalu untuk OST sebuah drama.

“Saya bukanlah kembali aktif tapi Tak Terpisah ini satu projek istimewa bersama JessC. Jadi, saya berterima kasih kepada JessC dan pasukan atas peluang merakamkan lagu duet ini.

“Kali terakhir saya hadir dengan single solo adalah tahun lalu, itu pun lagu runut bunyi untuk drama terbitan Zeel Productions. Lagu itu dirakamkan hanya untuk drama itu.

“Selain itu, saya pun sudah lama tidak rakamkan single solo. Tapi bagi saya tak mengapa walaupun ramai yang bertanya mengenai single baru saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada beberapa komposer daripada pelbagai generasi yang ingin bekerjasama dengannya, namun belum masanya.

“Ada beberapa lagu yang diterima dan ada satu lagu yang sangat suka tapi mungkin tiada jodoh dengan lagu itu.

“Pada tahap saya sekarang, saya perlu berhati-hati dalam memilih lagu sebab ini adalah satu tanggungjawab dan kita perlu sampaikan kepada pendengar.

“Jadi, perkara ini sangat dititikberatkan. Biarlah kita hasilkan lagu yang betul-betul orang suka dan kita nyanyi pun dari hati.

“Setiap lagu saya rekod pun ada keistimewaan tersendiri jadi dari segi pemilihan perlu terperinci. Tapi saya terbuka dengan genre baru dan juga komposer baharu,” katanya.

Fauziah hadir di majlis pelancaran album bahasa Melayu berjudul Dekati oleh JessC di Symphony Theatre, di sini, petang tadi.

Album Dekati memuatkan enam lagu baharu, termasuk lagu duet istimewa bersama Fauziah bertajuk Tak Terpisah.

Fauziah menggambarkan lagu Tak Terpisah sebagai lagu yang mempunyai jiwa.

“Kali pertama mendengar Tak Terpisah saya mengalirkan air mata sebab bagi saya lagu ini ada jiwa, jadi saya cuba terbaik untuk menyampaikan untuk semua.

“Terima kasih JessC dan seluruh pasukan untuk Tak Terpisah. Seluruh pasukan sangat bagus dan sangat menyokong antara satu sama lain.

“Kami juga sudah kenal lama, jadi untuk menyokong industri muzik saya terima cabaran ini dan sangat gembira dapat bekerjasama dengan dia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ibu kepada dua anak itu juga baru selesai menjayakan penggambaran telefilem Srikandi dengan membawakan watak Sultanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top