am@hmetro.com.my
Penyanyi rap popular, Yonnyboii, 27, mengakui sukar berjauhan dengan anaknya kerana kesukaran mempercayai orang lain untuk menjaga, membuatkan dia lebih selesa menguruskan sendiri tanggungjawab sebagai bapa.
Menurut Yonnyboii, atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, dia dan isteri menggalas sepenuhnya tanggungjawab menjaga anak tanpa bantuan pengasuh.
“Banyak sangat isu sekarang ini. Sebagai bapa buat kali pertama, memang banyak perkara yang saya risaukan seperti kes culik, kes dera, atau penjaga yang cuai.
“Walau sesibuk mana pun, saya dan isteri tetap akan berusaha menjaga anak kami sendiri. Kalau betul-betul tak dapat, saya akan serahkan kepada ibu mentua saya, orang yang isteri saya paling selesa dan percaya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Latihan Pestapora Malaysia, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Sakit ini berkata, perjalanan sebagai bapa pada usia muda tidak terlalu mencabar baginya.
“Bagi saya, tidak banyak cabaran yang dihadapi kerana ibu mentua dan isteri banyak memberikan bantuan. Namun, ia tetap pengalaman baharu yang unik kerana ia adalah sesuatu yang tidak diajar.
“Ia sangat menyeronokkan. Saya berharap dapat melihat anak saya membesar dengan sihat dan baik,” katanya.
Menurut Yonnyboii lagi dia lebih gemar membawa anaknya bersama setiap kali terbabit dengan urusan kerja.
“Saya tahu ini momen yang akan saya rindui nanti. Sebab itu, dalam tempoh empat tahun ini, saya mahu beri lebih tumpuan kepada anak berbanding karier.
“Kalau boleh, saya akan bawa dia ke mana-mana. Biasanya, kalau ada kerja, saya akan tinggalkan anak di hotel bersama ibunya buat sementara.
“Kami memang sukar untuk tinggalkan anak, apatah lagi nak serahkan pada orang lain. Sebolehnya, kami mahu jaga sendiri,” katanya.
Sementara itu, Yonnyboii turut berkongsi mengenai lagu baharu yang akan dipersembahkannya pada acara Latihan Pestapora Malaysia nanti.
Bakal mempersembahkan lagu terbaharu yang masih belum dilancarkan pada acara Latihan Pestapora Malaysia katanya, ia adalah hasil kolaborasi istimewa bersama seorang penyanyi legenda tanah air, namun identitinya belum boleh didedahkan.
“Kalau boleh, saya ingin jadikan pentas itu sebagai ruang untuk mempromosikan lagu ini. Ia dijangka dilancarkan sekitar Julai dan adalah hasil ciptaan saya bersama penyanyi berkenaan.
“Ini juga kali pertama saya bekerjasama dengannya. Saya yakin dia adalah pilihan paling tepat kerana hanya suaranya yang mampu menyampaikan lagu ini dengan sempurna,” katanya.
Yonnyboii turut tersenarai sebagai antara artis yang akan berkongsi pentas bersama barisan penyanyi terkenal dari Indonesia dalam konsert Latihan Pestapora Malaysia, di Sunway Lagoon Surf Beach pada 26 Julai nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




