rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu Nissan Navara yang disyaki terbabit insiden langgar lari sebelum Plaza Tol Duta di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di sini, kelmarin, disambung reman sehari.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tempoh sambung reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu bermula hari ini sehingga esok.
“Kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 8.30 pagi esok.
“Sekiranya ada arahan pertuduhan, maka pemandu kenderaan itu akan didakwa di mahkamah esok juga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau meminta orang ramai atau saksi untuk tampil membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Dalam kejadian 2.30 petang, pemandu Nissan Navara disyaki melanggar lari suami isteri yang menunggang motosikal sebelum Plaza Tol Duta.
Siasatan mendapati suspek cuba memotong motosikal lain namun gagal mengelak motosikal mangsa dan melanggar bahagian kanan motosikal jenis Benelli TRK 502 berkenaan.
Penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka di bahagian buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun patah buku lali, tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak.
Sementara itu, mengenai video baharu tular di media sosial memaparkan beberapa pacuan empat roda berlumba yang didakwa pemandu sama turut terbabit, polis sedang mengenal pasti semua pemandu berkenaan.
Polis menggesa orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
Pemandu Navara bukan pemilik kenderaan
Langgar lari pasangan suami isteri, pemandu Nissan Navara ditahan polis
© New Straits Times Press (M) Bhd




