Kota Belud: TikTok Shop meneruskan komitmen memperkasa usahawan tempatan dengan meneruskan tahun kedua kerjasama strategik bersama TEKUN Nasional menerusi penganjuran Karnival TEKUN Madani di sini, baru-baru ini.
Program yang berlangsung meriah itu menyaksikan pelbagai aktiviti interaktif seperti Studio LIVE TikTok Shop, Kiosk Jualan Secara Langsung dan permainan menarik yang menggalakkan pembabitan pengunjung.
Salah satu tumpuan utama karnival adalah Majlis Anugerah TikTok Shop yang meraikan kejayaan 80 usahawan yang menyertai Siri Bengkel Promosi Perniagaan Online (POP) 1 hingga 5, dengan lima peserta dipilih sebagai penerima anugerah atas pencapaian cemerlang mereka.
TikTok Shop menyatakan inisiatif ini bertujuan membantu golongan usahawan mikro dan kecil khususnya di Sabah dalam menyesuaikan diri dengan platform digital serta memperluaskan capaian pasaran secara dalam talian.
Melalui kerjasama bersama TEKUN Nasional, mereka berjaya meningkatkan hasil jualan peserta sebanyak lebih 200 peratus serta mencatat jualan mencecah tujuh angka menerusi kempen #JomLokal.
TikTok Shop turut memaklumkan bahawa Sabah mencatat pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun sebanyak 500 peratus hasil inisiatif berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, TikTok Shop turut mempromosikan LIVE Hub di Penampang iaitu studio lengkap dengan kemudahan profesional dan latihan untuk menyokong peniaga tempatan dalam sesi jualan langsung.
Kemudahan itu dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 16 Februari lalu sebagai langkah nasional mengurangkan kos operasi usahawan kecil dan mempelbagaikan saluran jualan mereka.
Setakat ini, lebih 60 usahawan menggunakan kemudahan berkenaan dengan lebih 100 jam siaran langsung berjaya dilaksanakan.
Sejak Januari 2025, sebanyak 80 usahawan dari Sabah dibimbing dalam memasarkan pelbagai produk tempatan merangkumi pertanian, makanan, kraf, fesyen dan penjagaan diri.
Dalam tempoh 60 hari selepas pelancaran, lebih lapan juta tontonan direkodkan membabitkan lebih 10,000 produk tempatan yang berjaya dijual.
TikTok Shop menegaskan akan terus memperkasa komuniti dan usahawan dengan menyediakan sokongan serta platform digital mesra pengguna yang boleh diakses semua pihak tanpa mengira latar belakang.
TikTok Shop turut mengumumkan destinasi seterusnya untuk penganjuran Live Hub ialah Johor bagi memperluas manfaat program kepada usahawan di wilayah selatan tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




