14 kenderaan dipandu warga asing disita

14 kenderaan dipandu warga asing disita

am@hmetro.com.my

Butterworth: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 14 kenderaan yang dipandu warga asing dalam operasi khas pemandu warga asing (PeWA) di Seberang Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook (FB) JPJ negeri semalam, kesemua kenderaan membabitkan 11 motosikal dan tiga kereta itu disita kerana pemandu tidak mempunyai lesen memandu.

“Lebih teruk ada kenderaan diperiksa juga tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang berkuat kuasa serta tiada perlindungan insurans.

“Sebanyak 11 motosikal dan tiga kenderaan persendirian dipandu warga asing itu disita dalam operasi yang dijalankan Unit Operasi JPJ Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan terhadap warga asing yang tidak mematuhi peraturan jalan raya akan diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu warga asing tanpa kompromi jika gagal mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top