New York: Penyanyi pop, Dawn Richard memberitahu mahkamah dia pernah melihat Sean “Diddy” Combs memukul kekasihnya, Casandra Ventura berulang kali.
Richard, bekas anggota kumpulan Danity Kane yang bernaung di bawah syarikat milik Diddy, berkata, dia takut untuk bersuara selepas Diddy mengarahkannya untuk diam.
“Dia memberi amaran saya berasal dari tempat di mana orang boleh hilang begitu sahaja.
“Saya terkejut dan juga ketakutan,” kata Richard kepada juri dalam perbicaraan kes pemerdagangan seks terhadap Combs di Mahkamah Persekutuan di Manhattan.
Dia mengaku bimbang dirinya dan ahli kumpulan lain dibunuh jika mereka mendedahkan apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Richard berdepan soal balas keras daripada peguam pembela berkaitan percanggahan dalam keterangannya.
Dalam soal balas, peguam pembela Nicole Westmoreland, Richard mengakui memberikan versi berbeza kepada pendakwa dan tidak menyebut beberapa butiran penting sebelum ini.
Antaranya termasuk dakwaan melihat Diddy melemparkan kuali ke arah Ventura pada 2009, yang sebelum ini hanya dikatakan didengarnya serta tidak menyebut ancaman Diddy dalam wawancara terdahulu.
“Saya rasa seiring masa berlalu, saya lebih jelas tentang apa yang berlaku kerana ia sudah lama berlaku,” jawab Richard.
Sementara itu, Kerry Morgan, bekas rakan Ventura juga menyokong dakwaan penderaan apabila memberi keterangan dia pernah melihat Combs memukul, menendang dan menarik Ventura.
Ventura, 38, yang lebih dikenali sebagai Cassie, memberi keterangan selama empat hari minggu lalu dan mendakwa Combs memaksanya menyertai parti seks di bawah pengaruh dadah, serta merogolnya pada Ogos 2018 selepas mereka berpisah.
Peguam Combs bagaimanapun menunjukkan bukti, mesej teks menunjukkan hubungan seks antara mereka masih berlaku sebulan selepas dakwaan rogol, dalam usaha menolak dakwaan itu.
Regina Ventura, ibu kepada Cassie, dijangka dipanggil memberi keterangan pada Selasa.
Combs, 55, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan jenayah berat termasuk konspirasi pemerasan, pemerdagangan seks dan membawa individu untuk tujuan pelacuran.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman 15 tahun hingga penjara seumur hidup.
Dia kini ditahan di penjara Brooklyn sejak September lalu.
Perbicaraan kes berprofil tinggi ini dijangka berlangsung selama dua bulan dengan meraih liputan meluas media memandangkan pengaruh besar Combs dalam industri muzik.
Combs, yang pernah dikenali sebagai Puff Daddy dan P Diddy adalah pengasas Bad Boy Records, label yang melonjakkan nama-nama besar seperti Mary J Blige, Faith Evans, Notorious BIG dan Usher.
© New Straits Times Press (M) Bhd