nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan menahan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian simbah asid membabitkan pengusaha spa di Bachok, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai, 4 petang semalam.
“Tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kelantan bersama anggota BSJ (Bahagian Siasatan Jenayah) IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Bachok dalam satu operasi bersepadu semalam.
“Suspek bekerja di sebuah kilang getah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis turut merampas sebuah Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan direman pada pagi ini di Mahkamah Majistret Bachok bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mendatangkan kecederaan parah.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi, dan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan terus kepada IPD Bachok atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kejadian Sabtu lalu, pengusaha spa, Nor Faziera Muda, 27, terpaksa menjalani pembedahan selama enam jam selepas disimbah asid oleh tiga orang berpakaian purdah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




