am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengundian bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Seramai 22,809 perwakilan layak mengundi bagi memilih MPP, termasuk 13,060 secara dalam talian dan 9,829 secara fizikal.
Daripada jumlah itu, 6,990 perwakilan akan hadir di Johor Bahru manakala 1,120 dan 919 akan mengundi secara fizikal di Sabah dan Sarawak.
Ia bagi memilih jawatan MPP terutama yang menjadi perhatian adalah Timbalan Presiden, yang menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli.
Manakala jawatan Naib Presiden membabitkan 12 calon, termasuk empat penyandangnya.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh semalam memaklumkan, seramai 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
Katanya, jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini.
Sementara bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengundi secara fizikal di Berjaya Waterfront Hotel, Stulang, kira-kira jam 12 tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, semalam memaklumkan Keputusan pemilihan MPP PKR akan diketahui seawal-awalnya jam 9 malam ini.
Katanya, keputusan awal itu berkemungkinan akan diumumkan selepas selesai ucapan perasmian, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Kongres Nasional PKR 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




