am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia selaku Pengerusi Asean masih menunggu jawapan Amerika Syarikat (AS) untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas Asean-AS.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengutus surat kepada pihak pentadbiran AS.
Katanya, Asean berharap hasrat itu boleh direalisasikan pada tahun ini.
“Perdana Menteri (Anwar) sudah menulis surat kepada AS untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas Asean-AS dalam tahun ini.
“Kita masih menunggu maklum balas dari pihak AS. Kita berharap akan mendapat berita baik untuk mereka adakan Sidang Kemuncak Khas Asean-AS dalam tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Februari lalu, Mohamad dilaporkan berkata, perkara itu dipersetujui pada peringkat Menteri-Menteri Luar Asean bagi memastikan Asean tidak dilihat condong ke mana-mana negara.
Beliau juga dipetik berkata, Asean menunggu jawapan AS sama ada sidang kemuncak khas itu akan diadakan di Malaysia atau negara itu.
Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC) Ke-29 dan Mesyuarat Majlis Koordinasi Asean Ke-36 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sementara itu, ditanya mengenai isu Laut China Selatan, Mohamad berkata, isu itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini kerana Asean dan China mempunyai komunikasi yang baik dan saling memahami dalam hal itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




