Amirul Fazli Zulkafli
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki muda negara, Choon Hon Jian-Haikal Nazri terus bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik dan kali ini tersingkir seawal pusingan pertama di tangan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di Terbuka Singapura, hari ini.
Dalam perlawanan di Stadium Tertutup Singapura, Hon Jian-Haikal cuba memberi tentangan sengit namun perbezaan pengalaman dan kurang kecergasan menyebabkan mereka tewas straight set 16-21, 13-21 dalam masa 37 minit.
Kecederaan dialami Haikal sebelum ini ternyata memberi kesan apabila mereka dilihat sukar untuk mengikut intensiti permainan ditampilkanRankireddy-Shetty terutama di set kedua apabila membiarkan lawan terus berada di depan dengan selesa.
Untuk makluman, selepas berehat panjang, wakil negara itu mula menyertai Kejohanan Terbuka Taiwan pada awal Mei lalu.
Mereka sudah menyertai empat pertandingan dan kemaraan paling jauh setakat ini hanyalah ke peringkat 16 terbaik sahaja.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, tidak perlu berpeluh untuk ke pusingan kedua selepas meraih kemenangan percuma ke atas wakil China, Lei Lan Xi dan dijangka akan bertemu lawan dari Indonesia, Jonatan Christie.
© New Straits Times Press (M) Bhd




