'Hos serba boleh'

'Hos serba boleh'

najiy.jefri@hmetro.com.my

SEPERTI awan yang tidak pernah berhenti berarak di langit, begitulah juga perjalanan seni Janna Nick yang sentiasa dilimpahi pujian, tidak kurang juga badai kecaman.

Nama Janna kembali menjadi sebutan hangat apabila menyebut perkataan ‘perempuan gila’ dalam sesi audio siar bersama aktor Fattah Amin.

Frasa itu seolah-olah merujuk kepada pelakon Nur Fazura dan menimbulkan kemarahan peminat.

Dalam sesi berkenaan, Janna yang bertindak selaku hos dikatakan melontarkan kenyataan itu ketika bertanyakan mengenai perasaan Fattah selepas bergelar duda.

Perkataan itu pantas mengundang pelbagai reaksi, terutama daripada netizen yang menganggap ia sebagai satu bentuk sindiran.

Namun, Janna tampil menjelaskan kenyataan terbabit bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus. Sebaliknya, istilah itu digunakan dalam konteks umum mengenai situasi lelaki selepas melalui episod perceraian.

Disebabkan kelancangan itu, terdapat pihak yang mula menyerangnya secara peribadi di media sosial, termasuk mengaitkan soal anak yang amat sensitif.

“Apabila ada yang mula serang media sosial saya dan kaitkan dengan soal anak, saya tak adalah marah.

“Saya kini dalam fasa reda. Kalau dulu orang kaitkan pasal lambat dapat zuriat dan persendakannya, saya sedih tapi sekarang saya pasrah sahaja. Saya hanya ucap Alhamdulillah. Melenting tidak, meroyan pun tidak,” katanya.

Janna juga tidak menafikan dirinya sering dilabel sebagai pengacara provokasi kerana pendekatannya yang berani dalam mengemudi program-program hiburan. Namun baginya, itu adalah tuntutan format program yang dikendalikan.

“Kena faham peranan seorang pengacara bergantung kepada jenis program yang dikendalikan. Kalau program berbentuk ilmiah yang bertujuan menyampaikan maklumat, unsur provokasi memang tidak diperlukan.

“Tetapi kalau membabitkan rancangan hiburan berasaskan gosip, itu memang menjadi ‘darah daging’ program itu. Kita perlu gali isu-isu hangat dan kontroversi sedalam yang boleh. Saya sendiri tak nafikan menjadi pengacara berkonsepkan provokatif, namun ia bergantung kepada kehendak dan konsep program,” katanya.

Walaupun begitu, Janna menegaskan dia bukanlah pengacara yang suka bermulut jahat seperti yang sering dituduh segelintir pihak.

“Saya bukan pengacara bermulut jahat. Tidak sama sekali. Selalunya yang minta saya bermulut jahat itu adalah penerbit program.

“Untuk pengetahuan semua, kalau saya dapat sesuatu ‘job’ dan ketika mesyuarat atau taklimat produksi, saya memang akan disuruh untuk bermulut lancang ketika bertanyakan soalan.

“Kalau tiba-tiba masa latihan program saya jadi baik, lepas habis sesi itu produser akan tegur dan minta kembali menjadi ‘jahat’,” katanya.

Ditanya mengenai identiti pengacara yang ingin ditampilkan, Janna berkata dia suka dikenali sebagai hos versatil.

“Kena tengok juga program bagaimana yang mereka nak saya kendalikan. Kalau saya mengacarakan program Melodi, saya kenalah ikut acuan yang disediakan.

“Kalau penerbit nak saya tukar gaya pengacaraan seperti program wanita seperti Nona, saya kenalah tukar watak jadi wanita ayu yang bermulut manis dan lemah lembut. Saya nak jadi pengacara yang versatil,” katanya.

Menurutnya, menjadi figura umum menuntut kekuatan mental dan emosi kerana setiap gerak-geri akan sentiasa diperhatikan dan dinilai.

“Kalau kita cepat melenting atau ambil hati, susah nak bertahan dalam industri ni. Apa pun saya masih belajar dan cuba perbaiki diri dari masa ke masa,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top