nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur : Seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku salah kerana membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung pelantikannya sebagai pengarah syarikat.
Hukuman itu diputuskan Hakim Siti Shakirah Datuk Wira Mohtarudin ke atas Juliana Jamian yang juga Pengarah UTS Maju Construction Sdn Bhd dalam prosiding yang berlangsung pada 21 Mei lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hakim mengenakan denda RM30,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh melunaskan bayaran selepas prosiding selesai.
SSM melalui kenyataan hari ini berkata, tertuduh sebelum ini didakwa di mahkamah yang sama pada 19 Mei 2025 atas tiga pertuduhan di bawah seksyen yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan terbabit.
“Bagaimanapun, pada prosiding sebutan semula pada 21 Mei 2026, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada bersalah bagi satu pertuduhan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan melalui rundingan akuan.
“Dalam menentukan hukuman, mahkamah turut mengambil kira dua lagi pertuduhan lain selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
SSM berkata, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi bersama Pegawai Pendakwa SSM, Farieza Hazreen Salehuddin dan Hamizah Sobree.
Manakala tertuduh diwakili peguam bela Muhamad ‘Aizat Adli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




