am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan aspek integriti terus diberi penekanan dalam kalangan pegawai dan anggotanya bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat serta memperkukuhkan kredibiliti pasukan keselamatan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kecanggihan aset, kemudahan moden dan pengalaman yang dimiliki pasukan keselamatan tidak akan membawa sebarang makna sekiranya aspek integriti diabaikan.
“Kita boleh mempunyai pengalaman, kemahiran dan aset yang canggih, tetapi jika tidak mempunyai integriti, semuanya tidak bernilai.
“Integriti datang daripada jiwa dan karakter seseorang, bukan daripada pengalaman atau kemahiran. Jika kehilangan karakter, kita kehilangan segala-galanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, cabaran keselamatan masa kini semakin kompleks apabila pihak berkuasa bukan lagi hanya berdepan jenayah konvensional, sebaliknya ancaman baharu seperti jenayah siber, sindiket penipuan dalam talian, penyeludupan rentas sempadan dan jenayah transnasional.
Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan polis perlu terus memperkukuh keupayaan operasi dan penyiasatan menerusi pendekatan yang lebih proaktif, pantas serta berasaskan data bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
Beliau turut menekankan bahawa aspek keselamatan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara polis dan masyarakat.
“Tanpa sokongan rakyat, usaha pasukan keselamatan tidak akan mencapai tahap keberkesanan yang maksimum.
“Hubungan antara polis dan masyarakat perlu terus diperkukuh demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




