hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis membongkar taktik licik sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyasarkan warga Jepun selepas menyerbu sebuah banglo tiga tingkat di Kajang, 13 Mei lalu.
Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu turut menahan lapan individu termasuk enam warga Jepun.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Sri Muhammed Hasbullah Ali berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan penipuan itu yang beroperasi sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, seramai enam lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga China berusia antara 23 hingga 56 tahun ditahan dalam serbuan terbabit.
“Siasatan mendapati semua suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai ejen pusat panggilan sindiket terbabit.
“Turut dirampas dalam serbuan ialah tujuh unit iPad, satu komputer riba, sembilan telefon bimbit, sembilan modem, satu set skrip dan satu rangkai kunci dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM25,000,” pada sidang media di Menara KPJ, hari ini.
Mohamed Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyasarkan warga Jepun sebagai mangsa melalui modus operandi penyamaran sebagai pihak berkuasa.
“Sindiket akan menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada mangsa, kononnya Polis Osaka menahan seorang individu terbabit kes penipuan dan menemui kad bank berdaftar atas nama mangsa.
“Kemudian, mangsa akan dihubungi menggunakan panggilan suara kononnya bagi tujuan siasatan lanjut, sindiket ini menggunakan aplikasi Bria Mobile untuk meniru nombor telefon rasmi Polis Osaka, satu teknik yang dikenali sebagai caller ID spoofing bagi meyakinkan mangsa,” katanya.
Katanya, mangsa yang terpedaya kemudian akan diarahkan memberikan maklumat peribadi serta memindahkan sejumlah wang ke akaun yang dikawal sindiket.
“Lebih membimbangkan, mangsa turut diarahkan melaporkan pergerakan harian mereka kepada sindiket.
“Selepas semua maklumat dan wang diperolehi, sindiket akan memutuskan komunikasi dan mangsa tidak lagi dapat menghubungi mereka,” katanya.
Menurutnya, dua suspek sudah didakwa di pada 22 Mei lalu mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63.
“Sementara itu, enam suspek warga Jepun akan dituduh di Mahkamah pada 3 Jun ini
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau pesanan yang mengaitkan diri mereka dengan pihak berkuasa, terutama dari luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




