Saya tidak menyesal, mereka hina ibu saya- Diallo

Saya tidak menyesal, mereka hina ibu saya- Diallo

LONDON: Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo mengakui tindakannya mengangkat jari tengah ke arah penyokong ketika jelajah pra musim di Malaysia adalah satu kesilapan.

Bagaimanapun, bintang Ivory Coast 22 tahun itu menegaskan bahawa dia sama sekali tidak menyesal kerana mendakwa ibunya telah dihina.

Insiden itu berlaku ketika skuad The Red Devils melintasi penyokong selepas perlawanan 0-1 kepada ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

Menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, Diallo menjelaskan tindakannya adalah reaksi spontan terhadap provokasi yang disifatkan sebagai sangat keterlaluan.

“Saya menghormati orang, tetapi bukan kepada individu yang menghina ibu saya. Saya tidak sepatutnya bertindak begitu, tetapi saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan,” tulisnya.

Diallo, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, turut menyatakan bahawa beliau tetap terhibur sepanjang berada di Malaysia bersama rakan sepasukan.

“Kami berseronok di Malaysia dengan orang yang baik,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemain juga menjadi sasaran ejekan penyokong susulan prestasi hambar skuad kendalian Ruben Amorim, yang menamatkan musim di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris.-UTUSAN

Scroll to Top