Charon Wardini Mokhzani dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia

Charon Wardini Mokhzani dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Charon Wardini Mokhzani dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) baharu, berkuatkuasa 1 Jun ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohammed Hussein yang akan bersara esok, selepas menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sejak tahun 2020.

Pelantikannya itu adalah pencapaian penting kumpulan terbabit dalam memperkukuh keupayaan institusi kewangan Islam untuk terus menerajui ke arah pertumbuhan dan kepimpinan mampan dalam industri insurans serta takaful.

Ahli Lembaga Pengarah Takaful Malaysia, Mohd Azman Sulaiman berkata, kumpulan mengalu-alukan pelantikan Charon dan menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan serta keupayaan memimpin kumpulan ke arah kecemerlangan berterusan.

“Pengalaman luas beliau dalam sektor perkhidmatan kewangan, dasar awam dan undang-undang akan menjadi faktor penting dalam membentuk hala tuju masa depan Takaful Malaysia.

“Kami yakin kepimpinan beliau akan terus memperkukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan, inovasi dan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, kebolehan dan kepimpinan strategik khususnya dalam mengemudi persekitaran regulatori yang kompleks serta merangka inisiatif berkaitan dasar sudah menerima pengiktirafan meluas dalam landskap korporat Malaysia.

“Kami menantikan kerjasama erat beliau apabila kami memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan Kumpulan.

“Visi dan kepimpinan beliau akan menjadi pemacu utama kepada pelaksanaan inisiatif strategik kumpulan, peningkatan daya saing serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai institusi kewangan Islam terkemuka di Malaysia,” katanya.

Charon mempunyai rekod pencapaian cemerlang dan memegang pelbagai jawatan penting di sektor korporat, pelaburan serta sektor berkaitan kerajaan.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas Institut Penyelidikan Khazanah, Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad, Pengerusi Principal Asset Management Berhad serta Rakan Pengurusan di firma guaman Zaid Ibrahim & Co.

Selain pencapaian dalam sektor korporat, Charon turut menyumbang khidmat dalam bidang kemasyarakatan dan pendidikan melalui pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Tuanku Fauziah, Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dan Kuala Lumpur Business Club serta pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau memiliki latar belakang akademik yang cemerlang dengan kelulusan dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Balliol College, Universiti Oxford serta dalam bidang undang-undang dari School of Oriental and African Studies, Universiti London.

Beliau juga seorang Chartered Banker, Felow Asian Institute of Chartered Bankers, peguam bela yang tidak aktif di Middle Temple, serta peguam cara dan peguam bela yang ditauliahkan di Mahkamah Tinggi Malaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top