30 kali ganda lebih mahal

30 kali ganda lebih mahal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket dadah kini dikesan cenderung mengedar bunga ganja iaitu bahagian kuntum bunga kanabis susulan permintaannya yang tinggi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che berkata, bunga ganja lebih sukar diperoleh di negara ini berbanding ganja.

“Berdasarkan siasatan, bunga ganja boleh didapati melalui laman sosial dan platform e-dagang.

“Sindiket dipercayai mengimport benih ganja dan menanam pokok ganja menggunkan teknologi canggih sebelum hasil bunga ganja dijual secara eksklusif kepada pelanggan tertentu,” katanya kepada Metro Ahad.

Mat Zani berkata, bunga ganja terbukti jauh lebih mahal berbanding ganja biasa di pasaran gelap bagi tempoh 2023 hingga tahun ini.

Menurutnya, bunga ganja dipercayai bahagian tumbuhan ganja yang mengandungi kandungan tetrahydrocannabinol (THC) paling tinggi.

“Harga bunga ganja boleh mencecah sehingga 30 kali ganda lebih mahal daripada ganja biasa berdasarkan nilai pasaran gelap.

“Ia dijangka menjadi alternatif kepada ganja biasa yang sering datang dari bekalan tradisional seperti mampatan ganja Thailand atau tempatan.

“Ia lebih mudah diperoleh dan digunakan oleh pasaran umum pada kos lebih murah iaitu sekitar RM3,200 per kilogram (kg),” katanya.

Katanya, pihak berkuasa percaya bahawa cecair vape ‘khayal’ sememangnya menggunakan ekstrak ganja iaitu THC yang biasanya diperoleh daripada bunga ganja sebagai ramuan utama.

“Pada Julai 2023, polis menumpaskan kegiatan tiga beranak yang mencampurkan ‘jus ganja’ ke dalam puluhan botol cecair vape.

“Sindiket ini menjual cecair vape mengandungi kanabis itu pada harga sekitar RM240 sebotol dan juga menjualnya secara dos kecil iaitua antara RM3 hingga RM5 setitikbkepada pelajar sekolah yang tidak mampu membeli satu botol penuh.

“Kes lain yang dikesan di Kuala Lumpur pada Januari 2023 pula menyaksikan rampasan 3.5 liter cecair ganja yang diproses menjadi perisa vape ganja.

“Sindiket yang ditahan di Brickfields itu membotolkan cecair THC dalam botol 5 milimeter (ml) dan menjualnya pada harga RM60 setiap satu,” katanya.

Beliau berkata, pihak JSJN ada mengesan dan mengambil tindakan terhadap kegiatan penjualan bunga ganja di seluruh negara.

“Kira-kira 13 tangkapan membabitkan kes berkaitan bunga ganja dilakukan di Kuala Lumpur dan Selangor selain satu kes di Negeri Sembilan bagi tempoh 2023 hingga tahun ini (setakat April lalu).

“Penjualan atau penggunaan sebarang produk ganja termasuk bunga ganja adalah haram dan boleh dikenakan hukuman berat,” katanya.

Menurutnya, kesalahan mengedar dadah jenis ganja lazimnya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dengan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan ganja meskipun ia muncul dalam bentuk baharu seperti ‘bunga ganja’ atau vape berperisa ganja.

“Pihak polis juga menggesa masyarakat, terutama golongan muda supaya tidak terpedaya dengan trend baharu dadah itu dan menyedari bahaya serta implikasi undang-undang berkaitan dengannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top