JKDM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai RM1.81 Juta

JKDM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai RM1.81 Juta

am@hmetro.com.my

Butterworth: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan cubaan menyeludup dadah melalui laluan udara dan paket selepas membuat rampasan lebih 18.4 kilogram (kg) bunga ganja bernilai hampir RM1.81 juta dalam dua serbuan berasingan Mac lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4 Mac, kira-kira jam 11.35 pagi, berhubung sebuah bagasi penerbangan dari China yang tidak mempunyai pengenalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Susulan itu, pegawai operasi dari Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang (CPP) LTAPP membuat pemeriksaan dan menemukan 29 bungkusan lut sinar mengandungi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja.

“Anggaran berat kasar tumbuhan kering itu sekitar 16,210 gram (16.21kg) yang nilai pasarannya hampir RM1.6 juta,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM negeri di Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Rohaizad berkata, serbuan kedua dibuat pada 16 April, kira-kira jam 1 tengah hari, di Pusat Mel Kurier (PMK), Pos Malaysia Berhad, di sini, apabila pihaknya dimaklumkan mengenai satu paket yang ingin dihantar ke United Kingdom (UK) namun diserahkan kembali berikutan tiada penerimanya.

“Semakan pada borang mendapati paket itu diikrar mengandungi sembilan unit buku komik.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap bungkusan itu dengan bantuan Anjing Pengesan Dadah (APD) menemukan empat bungkusan mengandungi tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 2,236 gram (lebih 2.2 kg) bernilai RM219,128,” katanya.

Katanya, pihaknya masih mengesan pemilik bagasi serta paket untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top