GUA MUSANG: Laluan masuk ke Kelantan melalui daerah ini mulai sesak dengan kenderaan perantau yang pulang kampung halaman masing-masing menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, esok.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, berlaku kesesakan hampir lima kilometer di pintu masuk ke negeri ini dari Kuala Lipis, Pahang.
Seorang perantau, Mohd. Jailani Jaafar, 40, berkata, dia mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke Gua Musang selepas bertolak dari Shah Alam pada pukul 5 pagi ini.
“Kami berhenti di tiga hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum sampai ke Gua Musang. Kenderaan semakin berpusu-pusu masuk ke Gua Musang, namun pergerakan lalu-lintas terkawal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, berlaku kesesakan sepanjang lima kilometer di pintu masuk Pahang ke Kelantan iaitu di Kampung Mentara.
“Lokasi lain ialah di Bukit Lanjut dan kawasan pembinaan Lingkaran Tengah Utama dekat Taman Wangi apabila kenderaan bergerak perlahan,” katanya. – UTUSAN