New York sasar dibuka sepenuhnya pada 1 Julai

New York sasar dibuka sepenuhnya pada 1 Julai
Walaupun sudah divaksin, kebanyakan warga New York terus bekerja dari rumah menyebabkan pejabat terbiar. (Gambar AP)

NEW YORK: Datuk Bandar New York Bill de Blasio semalam berkata bandar itu berharap ia akan dapat “dibuka sepenuhnya” pada 1 Julai.

Bagaimanapun, Datuk Bandar itu tidak menyatakan dengan tepat bagaimana atau bila larangan pandemik itu akan ditamatkan, kerana keputusan terletak di tangan Gabenor New York, Andrew Cuomo.

Difahamkan hubungan de Blasio dan Cuomo tidak begitu baik.

“Kami bersedia untuk membuka semula kedai, membuka semula perniagaan, pejabat, teater, sepenuhnya,” kata de Blasio kepada MSNBC.

Sementara itu, Cuomo berkata membuat ramalan begitu adalah “tidak bertanggungjawab” namun berharap kota Big Apple dapat menamatkan perintah sekatan itu lebih awal.

“Sekiranya kita melakukan apa yang perlu kita lakukan, kita dapat membuka semula operasi lebih awal,” katanya kepada wartawan.

De Blasio berkata masih ada “kerja yang perlu diselesaikan” dan kunci untuk membuka semula perniagaan adalah dengan memastikan semua orang divaksin.

New York telah berdepan berbagai larangan sejak gelombang koronavirus pertama melanda kota ini pada Mac tahun lalu, dan mengorbankan sekitar 32,000 orang.

Sejumlah 6.4 juta dos vaksin telah diberikan di Big Apple, menurut pemimpin bandar itu.

Kira-kira 2.4 juta penduduk New York daripada 8.5 juta telah diberi vaksin sepenuhnya.

Datuk Bandar berkata, sasarannya adalah untuk mencapai 5 juta pada akhir bulan Jun.

Beberapa minggu lalu, Cuomo telah melonggarkan sejumlah larangan, yang membolehkan restoran, stadium, pawagam dan tempat pertunjukan dibuka semula dengan kapasiti yang terhad.

Teater Broadway dijangka tidak akan dibuka semula sehingga September.

Walaupun ramai telah menerima vaksin, sebilangan besar warga New York lebih selesa untuk terus bekerja dari rumah.

Scroll to Top