Shiha Zikir Dedah Kisah Rindu Tak Pernah Padam Buat Arwah Bapa Menerusi Single ‘Renjana’

Shiha Zikir Dedah Kisah Rindu Tak Pernah Padam Buat Arwah Bapa Menerusi Single ‘Renjana’

Penyanyi berbakat besar, Shiha Zikir menzahirkan sisi peribadinya yang lebih mendalam menerusi single terbaharu berjudul Renjana, lagu yang ditulis dan digubah sendiri berdasarkan kenangan indah bersama arwah bapanya, Allahyarham Mohd Zikir Abdul Hamid.

Istimewanya, lagu penuh emosi ini merupakan hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia, dengan sentuhan komposisi turut dibantu oleh rakan baiknya, Zimi Sofazr.

“Lagu kali ini memang tak mudah, itu yang boleh saya katakan. Bukan apa, kisah yang saya sampaikan dalam lagu ini memang dilalui sendiri. Ketika proses rakaman pun, saya banyak menangis sebab teringat arwah abah,” ujar Shiha.

Katanya, arwah bapanya yang pergi pada tahun 2008 merupakan insan paling rapat dengannya dan sejak pemergian itu, hidupnya tidak pernah sama lagi.

Lebih menyentuh hati, Renjana bukan sekadar lagu biasa, namun ia menjadi sebuah penceritaan lengkap melalui muzik dan visual. Video muziknya memaparkan momen-momen sebenar kenangan Shiha bersama arwah, termasuk babak memancing dan detik beliau bertolak ke Kuala Lumpur untuk menyertai uji bakat program realiti.

“Apa yang anda lihat dalam video muzik, itu semua kisah benar walaupun babak-babak kecil seperti memancing ikan. Memang dulu saya selalu pergi memancing dengan abah.

“Arwah abah sanggup berhutang untuk beli walkman sebab nak saya selesa berlatih menyanyi. Tapi ketika itu saya tak berjaya masuk pertandingan. Dia pun tak sempat lihat saya jadi penyanyi,” katanya.

Walaupun arwah tidak sempat menyaksikan Shiha meraih kejayaan demi kejayaan termasuk di pentas Anugerah Juara Lagu dan Anugerah MeleTOP Era, semangat bapanya tetap menjadi sumber kekuatan hingga hari ini.

“Hingga hari ini, saya hanya bawa semangat arwah abah saja dan saya lakukan ini untuk dia. Kalau arwah abah tak ada, maka tak ada lah juga seorang penyanyi bernama Shiha Zikir,” luahnya jujur.

Sebagai tambahan kepada pelancaran Renjana, Shiha turut mengadakan sesi perkongsian khas bersama pengikutnya yang pernah melalui pengalaman kehilangan insan tersayang.

“Saya buat sesi perkongsian itu dengan kenalan dan followers yang sudi berkongsi kisah hidup mereka. Ternyata kami saling memahami, memang sangat menyentuh hati dan kami kerap mengalirkan air mata,” katanya.

Mengakhiri bicara, Shiha sempat menitip pesan penuh makna mengenai ibu bapa.

“Saya juga ingin pesan kepada semua, hargailah ibu bapa kita terutama bagi yang masih ada kedua-duanya. Jadilah anak yang berbakti sepenuh hati kepada mereka. Bukan apa, kalau suatu hari nanti mereka sudah tiada, rasa itu sangatlah sakit hingga sukar diungkap dengan kata-kata,” tutupnya.

Scroll to Top