Takdir satukan kembar seiras

Takdir satukan kembar seiras

Beijing: Dua wanita kembar di China yang terpisah sejak bayi dipertemukan semula secara tidak sengaja dan menjadi sahabat baik sebelum mengetahui mereka saudara kandung.

Pasangan kembar, Zhang Guoxin dan Hai Chao, diserahkan kepada keluarga angkat pada usia 10 hari selepas ibu bapa kandung tidak mampu membesarkan mereka.

Syarat utama ditetapkan, kedua-dua keluarga angkat mestilah tinggal di bandar sama di wilayah Hebei, utara China.

Tanpa mengetahui kewujudan satu sama lain, mereka dibesarkan secara berasingan sehinggalah takdir mempertemukan mereka 17 tahun kemudian.

Menurut Hai, dia mendengar rakan sekolahnya memberitahu ada pembantu kedai pakaian kelihatan seiras dengannya sebelum dia menyiasat sendiri.

“Apabila tengok muka Zhang, saya rasa macam dekat sangat.

“Saya tengok muka dia, terus rasa mesra… macam sudah kenal lama,” katanya yang meraikan ulang tahun ke-20 pertemuan semula mereka, baru-baru ini.

Mereka berkongsi bukan sahaja tarikh lahir sama, malah selera makanan, gaya rambut serta suara sama.

Paling mengejutkan, kedua-duanya pernah nyaris maut akibat sakit ketika berusia 100 hari.

Selepas menjadi kawan rapat selama lebih 14 bulan, barulah kedua-dua keluarga angkat mendedahkan rahsia sebenar mereka adalah kembar seiras yang dipisahkan sejak bayi.

Kini pasangan kembar berusia 37 tahun itu menguruskan akaun media sosial dengan lebih 62,000 pengikut.

Mereka secara tidak sengaja juga membeli rumah di kawasan perumahan yang bersebelahan.

Anak mereka pula masing-masing berusia 13 tahun memiliki rupa hampir seiras dan belajar dalam kelas sama.

Bagaimanapun, sehingga kini pasangan kembar itu masih belum berjaya mengesan ibu bapa kandung mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top