Malaysia benam Afrika Selatan, jumpa Wales rebut tempat ke-5

Malaysia benam Afrika Selatan, jumpa Wales rebut tempat ke-5

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Misi skuad hoki lelaki negara untuk menamatkan kempen Piala Negara-Negara di kedudukan kelima diteruskan selepas melakar kemenangan 4-2 ke atas Afrika Selatan pada perlawanan klasifikasi tempat lima hingga lapan, hari ini.

Ini bermakna, skuad bimbingan Sarjit Singh yang gagal memenuhi sasaran mara ke separuh akhir, akan membuat perhitungan dengan Wales pada penentuan tempat kelima dan keenam, esok.

Meskipun melakar kemenangan, Sarjit kurang berpuas hati dengan prestasi barisan pemain negara, terutama di separuh masa pertama.

“Apabila permainan diteruskan di separuh masa kedua, pemain memanfaatkan segala peluang yang ada.

“Apapun pujian wajar diberikan kepada barisan pemain kita selepas kekecewaan yang mereka alami sebelum ini. Apabila gagal layak ke separuh akhir, memang sukar untuk bangkit semula.

“Mereka bermain dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tiga mata dan akhirnya mereka berjaya lakukannya,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Speedy Tigers bermula baik apabila di depan pada minit ke-15 selepas Syed Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Namun Afrika Selatan menyamakan kedudukan menerusi Angelo Walstroom yang bijak mencari ruang di dalam kawasan D pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, pemain pertahanan, Muhammad Syafiq Hassan kembali meletakkan Malaysia di depan hasil gol padang minit ke-37 selepas menerima hantaran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook menambah gol ketiga selang tiga minit kemudian, juga menerusi jaringan padang.

Namun Afrika Selatan mencetuskan resah apabila apabila merapatkan jurang selepas Carlon Mentoor menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-51.

Skuad negara bagaimanapun tenang mengawal permainan dan pemain berpengalaman, Fitri Saari menemui ruang untuk menguis masuk bola pada minit ke-53.

Dalam satu lagi aksi klasifikasi tempat lima hingga lapan, Wales melakar kemenangan 6-4 ke atas Jepun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top