India perluas program vaksinasi ketika lonjakan kes COVID-19

India perluas program vaksinasi ketika lonjakan kes COVID-19

NEW DELHI: India mahu memperluaskan program vaksinasi kepada semua golongan dewasa.

Pemerintah negara itu mahu segera melaksanakan tindakan itu ketika terus bergelut bagi menangani peningkatan kes jangkitan COVID-19 secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Semalam, India mencatat rekod global untuk angka harian jangkitan COVID-19 apabila melaporkan lebih 401,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam, dengan hampir 3,500 lagi kematian, menurut data rasmi.

Ia sekali gus mencatatkan jumlah kes jangkitan paling tinggi di dunia yang pernah dicatatkan sejak pandemik COVID-19 mula dikesan di Wuhan, China tahun lalu.

India adalah negara pengeluar vaksin COVID-19 yang terbesar di dunia.

Sungguhpun demikian, sesetengah wilayah di negara itu memberi amaran mengenai bekalan vaksin yang berkurangan.

Jutaan orang muda bergegas untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana khuatir keadaan penularan COVID-19 di negara itu akan menjadi bertambah buruk.

Namun, hanya sebilangan daripada mereka yang sudah diberikan janji temu setakat ini.

Institut Serum India, yang menghasilkan vaksin Oxford-AstraZeneca, kini merancang untuk memulakan operasinya di negara-negara lain bagi membantu memenuhi komitmennya untuk menyediakan vaksin tersebut. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top