Ops Khas JISA: 50 syarikat pengendali kenderaan sudah diaudit

Ops Khas JISA: 50 syarikat pengendali kenderaan sudah diaudit

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 50 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) yang berisiko tinggi, sudah diaudit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata proses audit secara berperingkat di seluruh negara itu dilaksanakan oleh pasukan khas menerusi ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA).

“Kita (JPJ) dah mulakan semalam dan setakat ini, lebih kurang 50 syarikat kita sudah audit.

“Namun keputusan audit saya belum dapat lagi. Saya memberi tempoh sebulan kepada pasukan untuk menyelesaikan audit 500 syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media di JPJ Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Ditanya mengenai tempoh audit bagi setiap syarikat, Aedy Fadly berkata, proses audit itu mempunyai tempoh berbeza dan mengambil masa untuk diselesaikan berdasarkan dokumentasi diperoleh.

“Proses audit itu bergantung kepada keadaan sebenar dan dokumentasi yang perlu disediakan oleh syarikat terbabit,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, JPJ akan melaksanakan pengauditan terhadap 500 syarikat pengendali KPA dan KPB yang berisiko tinggi melalui strategi penguatkuasaan Op Khas JISA bermula Isnin.

Aedy Fadly dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenalpasti semua syarikat pengendali terbabit yang mempunyai saman tertunggak menerusi senarai JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, fokus utama operasi khas itu adalah untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.

Beliau dilapor berkata, pengauditan itu dibuat susulan nahas bas yang mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu selain beberapa kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan kepada statistik, pihaknya mengenalpasti kategori syarikat pengendali yang berisiko tinggi iaitu membabitkan 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top