am@hmetro.com.my
Georgetown: Wang simpanan milik wanita warga emas yang berasal dari Bayan Lepas, berjumlah lebih RM690,000 lesap selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Phone Scam’.
Pesara kilang berusia 65 tahun itu hanya menyedari ditipu selepas bercerita pada rakannya dan membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada lelaki mendakwa wakil bank yang memaklumkan terdapat penyalahgunaan kad kredit Platinum Master yang didaftar atas nama mangsa.
“Panggilan itu kemudian disambung kepada ‘Pegawai Polis’ di Johor dan suspek memaklumkan bahawa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram serta diminta menyerah semua wang bagi tujuan audit.
“Suspek turut mendakwa kesemua wang itu akan dipulangkan semula selepas siasatan selesai, namun jika gagal, satu waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata, mangsa yang takut kemudian melakukan 27 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam tiga akaun bank berbeza bermula 19 Mei sehingga 5 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM696,513.50.
Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihat supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd