Pempengaruh kesihatan, Dr Say Shazril tampil menjelaskan kekeliruan berhubung jangkitan virus herpes susulan kenyataan kontroversi seorang usahawan wanita baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Dr Say atau nama sebenarnya Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, berkata virus herpes terbahagi kepada dua jenis utama iaitu Herpes Simplex Type-1 (HSV-1) dan Herpes Simplex Type-2 (HSV-2).
“Cold sores atau luka melepuh di mulut berpunca daripada jangkitan virus herpes. HSV-1 biasanya muncul di kawasan mulut, manakala HSV-2 lebih kerap di bahagian kemaluan. Namun, kedua-duanya boleh bertukar lokasi jangkitan.
“Penularan boleh berlaku melalui ciuman, hubungan seks oral, atau berkongsi barangan peribadi seperti lip balm, pencukur dan tuala. Sebab itu penting untuk menjaga kebersihan dan elakkan berkongsi barangan,” katanya.
Dr Say turut menyangkal dakwaan kononnya cold sores berpunca daripada ‘telur lelaki masam’ seperti yang dinyatakan usahawan terbabit dalam video yang tular.
Katanya, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Individu yang pernah dijangkiti berisiko alami semula simptom sekiranya sistem imun tubuh lemah, mengalami tekanan, keletihan melampau atau gangguan hormon,” jelasnya.
Dalam masa sama, Dr Say menegur tindakan usahawan berkenaan yang secara terbuka menyalahkan suami sebagai punca jangkitan.
“Maaf cakap, kalau isteri saya buat gurauan seperti itu di khalayak, memang saya rasa amat malu. Tidak semua perkara sesuai dijadikan bahan gurauan, apatah lagi membabitkan maruah pasangan.
“Bayangkan jika suami pula berseloroh mengatakan isterinya berbau ‘apam basi’ selepas dijangkiti, masih lucukah?” soalnya.
Dr Say turut mengingatkan orang ramai supaya berhemah dalam menyampaikan maklumat kesihatan.
“Sebar ilmu, bukan aib. Jaga maruah pasangan, bukan dijadikan konten tontonan umum,” tegasnya.
Terdahulu, usahawan terkenal Kieda Crepe dikecam netizen selepas memuat naik video mendakwa dirinya dijangkiti herpes akibat ‘telur masam’ suami.
Meskipun Kieda mendakwa niat asal hanya untuk berkongsi kesedaran mengenai penyakit itu, tindakan tersebut disifatkan keterlaluan dan membuka aib suami secara terbuka.