Kilang papan tak sempat jual kayu curi

Kilang papan tak sempat jual kayu curi

bhnews@bh.com.my

TEMERLOH: Seksyen Penguatkuasan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mematahkan cubaan memasarkan kayu bergergaji tanpa permit selepas melakukan serbuan ke sebuah kilang papan di sini kelmarin.

Dalam serbuan itu anggota penguat kuasa menemui empat batang balak termasuk sembilan ikat kayu bergergaji spesies jelutong dan merbau pelbagai saiz yang proses membelahnya dilakukan di kilang terbabit.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP, Muhammad Firdaus Abdul Kadir @ Yusof, berkata kejayaan berkenaan susulan Ops Kilang yang turut memeriksa 22 kilang papan di daerah ini bagi mengesan kegiatan menerima balak curi daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan kilang berkenaan tidak beroperasi kerana mungkin sudah mengesan kehadiran anggota penguat kuasa JPNP yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, tindakan tegas dikenakan dengan menyita tiga longgok kayu bergergaji termasuk dua unit mesin yang digunakan untuk melakukan kerja membelah kayu terbabit.

“Semua kayu yang disita difahamkan untuk pasaran tempatan, nilai semuanya lebih RM50,000. Siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui lokasi balak diambil serta dalang utama membawa masuk ke kilang terbabit.

“Pemeriksaan pas memindah dan buku rekod kemasukan balak ke kilang berkenaan tidak terdapat senarai kayu jenis jelutong dan merbau,” katanya, di sini.

Beliau yang turut sama menyertai serbuan berkenaan berkata, pemeriksaan tidak menemui sebarang kesan tukul tanda hasil atau tukul pengkelasan yang ditanda pada permukaan kayu jelutong yang disita.

Muhammad Firdaus berkata, pemilik kilang papan akan dikenakan kompaun mengikut Enakmen Industri Berasas Kayu 1985, balak dan kayu bergergaji serta kilang akan disita jika sabit kesalahan.

“Dalam Ops kilang yang diadakan selama tiga hari, 12 kilang papan dikenakan amaran keras kerana rekod kemasukan balak ke kilang tidak lengkap dan berlaku beberapa kesalahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top