Santiago: Penduduk di kawasan Gurun Atacama di utara Chile yang terkenal sebagai kawasan paling kering di dunia, dikejutkan dengan fenomena luar biasa apabila landskap seperti bulan di kawasan itu tiba-tiba diselubungi salji, semalam.
“Luar biasa! Gurun Atacama, paling kering di dunia, kini diliputi salji,” kata balai cerap ALMA dalam satu hantaran di platform X, disertakan video menunjukkan kawasan luas berwarna putih akibat salji nipis.
Balai cerap itu yang terletak pada ketinggian 2,900 meter dari paras laut menjelaskan bahawa salji sememangnya biasa turun di Dataran Tinggi Chajnanator yang berada lebih 5,000 meter iaitu lokasi teleskop gergasi mereka, namun salji tidak pernah turun di fasiliti utamanya, sejak 10 tahun lalu.
Pakar klimatologi dari Universiti Santiago, Raul Cordero memberitahu AFP bahawa masih terlalu awal untuk mengaitkan fenomena itu dengan perubahan iklim, namun menjelaskan bahawa model iklim semasa menunjukkan hujan atau salji di Gurun Atacama mungkin akan menjadi semakin kerap.
Gurun Atacama, yang juga terkenal dengan langit paling gelap di dunia, sudah lama menjadi lokasi pilihan saintis dan astronomi untuk memasang teleskop paling canggih di dunia.
Teleskop ALMA dibangunkan hasil kerjasama Balai Cerap Selatan Eropah (ESO), Balai Cerap Radio Nasional Amerika Syarikat dan Balai Cerap Astronomi Kebangsaan Jepun, dan kini diiktiraf sebagai teleskop paling berkuasa di dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd