Imigresen FC 'intai' Stadium Tuanku Syed Putra

Imigresen FC 'intai' Stadium Tuanku Syed Putra

sukan@hmetro.com.my

Kangar: Pendatang baru Liga Super musim 2025-26, Imigresen FC dilaporkan sedang mempertimbangkan Perlis sebagai destinasi kelab berkenaan dengan Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), di sini dijadikan sebagai venue yang akan digunakan sebagai gelanggang rasmi mereka bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Ini selepas penolakan serta larangan kerajaan negeri Kedah menerusi Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak membenarkan kelab berpangkalan di Lembah Klang itu mendaftarkan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang tuan rumah kelab itu.

STSP Kangar terletak di bawah pengurusan MSN Perlis dan perkara itu disahkan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Mohd Azraai Zain Tusimin yang memberitahu bahawa beberapa wakil kelab berkenaan ada melakukan tinjauan teknikal terhadap stadium berkenaan.

“Pengurusan Imigresen FC ada buat lawatan di stadium hari ini untuk meninjau kesesuaian kelab itu menjadikan STSP sebagai gelanggang ‘home’ dan ‘away’ mereka untuk saingan Liga Super.

“Saya difahamkan selain STSP, Imigresen FC juga ada sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjadikan Stadium Darulaman di Alor Setar sebagai gelanggang mereka sebelum ditolak oleh kerajaan negeri Kedah dan selain itu juga, kelab itu dikatakan berhasrat menjadikan stadium di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selayang sebagai pertimbangan untuk dijadikan gelanggang mereka menghadapi Liga Super musim hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, apa pun segala keputusan terhadap permohonan Imigresen FC itu terletak di bawah kuasa kerajaan negeri perlis.

“Buat masa ini, keutamaan adalah diberikan kepada pasukan dari Perlis yang bakal beraksi di Liga A1 Semi Pro dan Liga A2 Amatur dimana untuk saingan Liga AI kita mempunyai Perlis GSA FC manakala bagi Liga A2 pula, Perlis akan diwakili Bintong FC.

“Kami masih kekal dengan pendirian pasukan asal Perlis menjadi keutamaan, tertakluk kepada jadual dan keputusan akhir Kerajaan Perlis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top