bisnes@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Johor menegaskan tidak akan sewenang-wenangnya menerima semua cadangan pelaburan asing, sebaliknya komited meletakkan syarat ketat bagi memastikan setiap projek memberi impak dan nilai tinggi kepada rakyat Johor.
Langkah itu penting bagi membuktikan Johor bukan ‘halaman belakang’ atau lokasi lambakan industri bagi mana-mana pihak, terutama dalam trend kebanjiran pelaburan berkaitan pusat data ketika ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, demi memelihara kestabilan sumber asli negeri, Johor secara rasmi menetapkan dasar untuk menolak permohonan pembinaan pusat data di bawah kategori Tier 1 dan Tier 2.
“Kami hanya menerima pelabur yang mahu melabur dalam teknologi yang kurang menggunakan air. Ketika ini terdapat teknologi yang tidak memerlukan penggunaan air yang tinggi bagi tujuan penyejukan, maka penggunaan air tidak sebanyak sebelum ini.
“Bagi aspek tenaga, kami juga mempunyai sumber yang baik. Kami sudah berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bagi penggunaan air, kami juga mengadakan perbincangan dengan Ranhill SAJ,” katanya ketika kunjungan hormat ke Media Prima di sini, hari ini.
Kehadiran beliau disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran dan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh.
Hadir sama, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Zulkifli Jalil; Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin dan pengurusan kanan editorial Media Prima.
Onn Hafiz berkata, bagi melancarkan proses saringan dan pemudah cara, kerajaan negeri telah mengoptimumkan peranan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) sebagai benteng utama menapis profil syarikat.
Malah, sebuah pasukan petugas khas turut ditubuhkan yang dianggotai secara khusus oleh tiga Exco Kerajaan Negeri Johor bagi memantau kelulusan setiap projek.
“Kombinasi portfolio dalam pasukan petugas ini membabitkan exco yang bertanggungjawab menjaga portfolio air, elektrik, serta pelaburan negeri yang diterajui oleh Lee Ting Han.
“Apa saja cadangan pelaburan yang kami terima, akan disaring terlebih dahulu supaya kita hanya meluluskan pelaburan yang tidak akan menjejaskan penggunaan air dan elektrik,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor menggesa supaya pelaksanaan projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat dipercepatkan bagi memastikan negeri itu bersedia menghadapi peningkatan pergerakan penumpang yang dijangka berlaku apabila Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mula beroperasi.
Katanya, projek itu kekal sebagai antara penyelesaian jangka panjang paling penting bagi penyuraian trafik dan mobiliti bandar di negeri itu, khususnya apabila RTS Link dijangka mengendalikan kira-kira 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak.
Beliau berkata, setakat ini surat anugerah (LOA) bagi projek berkenaan masih belum dikeluarkan, walaupun kerajaan negeri sudah lama menggesa supaya pelaksanaannya dipercepatkan.
“Kami sudah lama memperjuangkan supaya projek ini dilaksanakan. Bukan saya sahaja, malah Sultan Johor sentiasa mengingatkan saya dan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan projek ini.
“Tetapi, setakat yang saya tahu, LOA pun belum dikeluarkan lagi. Sebab itu kadang-kadang apabila saya bersuara (mengenai perkara ini), saya dilihat seperti mendesak, tetapi saya mendesak dengan bersebab kerana apabila RTS sudah beroperasi, ia dijangka mengendalikan kira-kira 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak.
“Kita sudah ada pelan penyuraian trafik jangka pendek dan saya bersama pasukan juga menjelaskan pelbagai langkah yang akan dilaksanakan. Namun, salah satu faktor yang benar-benar boleh menjadi pemangkin perubahan ialah projek ART bertingkat. Sebab itu, proses LOA perlu dipercepatkan dan projek ini perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kelewatan melaksanakan projek ART berpotensi meningkatkan tekanan trafik khususnya di kawasan sekitar hab RTS apabila jumlah pengguna pengangkutan awam rentas sempadan meningkat.
Menurutnya, kerajaan negeri masih mampu menguruskan keadaan dalam tempoh jangka pendek dan sederhana melalui langkah mitigasi dirancang, namun projek ART perlu dimulakan segera kerana tempoh pembinaannya dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun.
“Sebab itulah saya sering menekankan bahawa projek ini perlu dimulakan sekarang dan bukannya menunggu sehingga masalah berlaku terlebih dahulu,” katanya.
Mengulas perkembangan berkaitan surat hasrat (LOI) yang dilaporkan sebelum ini, Onn Hafiz berkata, dokumen itu tidak membolehkan kontraktor atau konsortium yang terbabit memulakan kerja pembinaan.
Katanya, pelaksanaan projek hanya boleh dimulakan selepas kontrak dianugerahkan secara rasmi menerusi pengeluaran LOA.
“LOI tidak sama dengan LOA. Untuk kontraktor melaksanakan kerja, mereka memerlukan kontrak yang sudah dianugerahkan. Dengan LOI sahaja, mereka tidak boleh memulakan sebarang kerja.
“Saya difahamkan sebelum ini ada cadangan supaya LOA hanya dikeluarkan tahun depan. Pada pandangan saya, itu terlalu lambat. Kita mahukan ia dipercepatkan sekarang,” katanya.
Beliau menegaskan usaha mempercepatkan projek ART bertingkat bukan perkara baharu kerana kerajaan negeri sudah lama mengangkat keperluan sistem pengangkutan berkenaan sebagai sebahagian daripada perancangan mobiliti Johor, khususnya menjelang operasi penuh RTS yang bakal menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd




