Zi Yu-Aqilah mara, Ling Ching kandas

Zi Yu-Aqilah mara, Ling Ching kandas

ferzalfie@hmetro.com.m

Kuala Lumpur: Beregu wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan meneruskan kemaraan cemerlang pada Terbuka Australia apabila berjaya melangkah ke pusingan suku akhir di Sydney, hari ini.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Olympic Boulevard, bekas naib juara remaja dunia itu menundukkan gandingan tuan rumah, Jazmine Lam-Lim Yee Yuan menerusi kemenangan straight-set 21-9, 21-18.

Beregu ranking ke-84 dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan sejak awal permainan apabila menguasai set pertama dengan cukup dominan.

Mereka mendahului 11-3 sebelum menamatkan set berkenaan dengan kemenangan mudah 21-9.

Set kedua menyaksikan tentangan lebih sengit daripada Lam-Yee Yuan yang berjaya memberi saingan rapat, namun Zi Yu-Noraqilah kekal tenang mengawal permainan.

Kedudukan yang pada awalnya seimbang berubah selepas pasangan negara memperoleh mata ke-15 apabila mereka mula menjauhkan diri sebelum menoktahkan kemenangan 21-18 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Menanti mereka esok ialah pilihan ketujuh kejohanan dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari yang mara selepas menewaskan pasangan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-9, 21-12.

Sementara itu, cabaran perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching berakhir di pusingan kedua apabila tewas kepada pilihan kelapan dari Taiwan, Huang Yu Hsun 18-21, 19-21 dalam tempoh 38 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top