Hamilton harap tamatkan kemarau podium di Silverstone

Hamilton harap tamatkan kemarau podium di Silverstone

Silverstone: Bintang Formula Satu, Lewis Hamilton memasuki hujung minggu Grand Prix Britain dengan satu misi besar iaitu menamatkan kemarau 13 perlumbaan tanpa podium sekali gus mengakhiri tempoh suram terpanjang sepanjang kariernya.

Hamilton yang kini bersama Ferrari berkata perlumbaan di Silverstone amat istimewa dan beliau berharap detik penuh bermakna itu menjadi lokasi kebangkitan.

“Ia akan jadi tempat terbaik untuk mengubah keadaan. Itu yang sedang kami usahakan,” kata pemandu berusia 40 tahun itu kepada media.

Hamilton mempunyai rekod luar biasa di litar ini. Sembilan kali menang, tujuh kali bermula di petak utama dan naik podium sebanyak 14 kali menjadikan dia pelumba paling berjaya di tanah air sendiri dalam sejarah Formula Satu.

Kemenangan tahun lalu bersama Mercedes di Silverstone juga begitu emosi buatnya apabila menamatkan penantian selama 945 hari dan 56 perlumbaan tanpa sebarang kejayaan.

Bagaimanapun tahun ini sedikit berbeza. Buat pertama kali dalam kariernya, Hamilton akan memandu jentera bukan dari pasukan Britain di Silverstone selepas menghabiskan seluruh kerjayanya bersama McLaren dan Mercedes sebelum ini.

“Saya sendiri tidak pasti apa yang bakal berlaku hujung minggu ini. Hari Khamis biasanya kurang menyeronokkan kerana kita belum masuk ke trek. Saya tidak sabar tunggu Jumaat,” katanya.

Hamilton turut mengakui memandu buat kali pertama di hadapan penyokong sendiri dengan jentera berwarna merah Ferrari akan memberi perasaan yang unik dan penuh makna.

“Kita ada peminat paling hebat di sini. Mereka benar benar beri semangat tambahan. Saya harap sokongan mereka kali ini juga mampu membawa perbezaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top