hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Serdang: Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian lelaki yang ditemui di Taman Bukit Kuchai, Puchong, semalam, kata Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad.
Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.
“Siasatan diteruskan di bawah laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Muhamad Farid berkata, pihaknya mengesan beberapa video tular di media sosial memaparkan keadaan lelaki berkenaan yang dipercayai tidak siuman, yang dikesan diambil di Jalan 23, Taman Bukit Kuchai, Puchong.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, ujian saringan yang dilakukan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol, amphetamine dan methamphetamine.
Mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, di sini untuk bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




