Sijil kelahiran anak Shuk tiada maklumat bapa

Sijil kelahiran anak Shuk tiada maklumat bapa

Kuala Lumpur: Kemelut rumah tangga pelawak sensasi, Shuk Sahar, 39, dengan isterinya, Fara Salleh nampaknya semakin ‘keruh’ dengan perkongsian pelbagai hantaran dibuat wanita itu di Instagram Story (IGs).

Fara yang sebelum ini menitip pesan buat ibu bapa mentuanya terhadap cucu mereka, Elaine Nada yang baru dilahirkannya turut membuat pendedahan sijil kelahiran bayi perempuan itu.

Menerusi paparan gambar sijil kelahiran Elaine Nada yang diimuatnaik di IGs Fara semalam, menunjukkan tiada maklumat berkaitan bapa ditulis.

Difahamkan, perkara itu berlaku kerana Shuk didakwa tidak mendaftarkan pernikahan mereka yang berlangsung di Thailand pada 23 November 2023 di negara ini.

Menerusi kapsyen ditulis, Fara mempersoalkan tindakan dibuat Shuk itu menyebabkan bayinya tidak memiliki maklumat bapa yang ditulis pada ruangan dalam sijil lahir itu sebagai ‘ tiada maklumat diperolehi’.

“Kau nampak apa kau buat? Ini surat beranak Elaine. En Sahar kau nampak apa anak kau buat??” tulisnya.

Terdahulu, Fara memaklumkan dirinya selamat melahirkan anak sulung pada 26 Jun lalu menerusi hantaran dibuat di akaun Instagram termasuk memberitahu dia menamakan bayi itu, Elaine Nada.

Dalam hantaran berkenaan, Fara juga berkongsi dia datang ke hospital dua hari lebih awal dan ditahan di wad. Ini berikutan air ketuban mula berkurangan dan berat badan bayi kurang kerana masalah uri.

Pada April lalu, Shuk didakwa melafazkan cerai talak satu terhadap Fara menerusi panggilan telefon dan berita itu dikongsikan Fara melalui rakaman video yang dimuatnaik di Instagram.

Fara mendakwa suaminya itu melafazkan cerai terhadapnya ketika Shuk berada di Thailand.

Sebelum itu, Fara turut mendakwa permasalahan dalam rumah tangganya bersama Shuk sudah timbul sebelum mereka mengerjakan umrah pada Ogos tahun lalu.

Shuk juga pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial, Rossa Sera pada 2015, namun mereka bercerai pada 22 Mac 2023.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi yang kini dijaga oleh ahli keluarga Rossa Sera di Sabah.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Fara dan Shuk tidak berjaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top