Kekasih jual teman wanita kepada 'bapa ayam' Jalan Petaling

Kekasih jual teman wanita kepada 'bapa ayam' Jalan Petaling

Kuala Lumpur: Dijual teman lelaki kepada sindiket pelacuran selepas cinta berkubur.

Itu antara pengakuan mangsa eksploitasi kegiatan pelacuran yang diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur susulan serbuan di sebuah premis pelacuran di Jalan Petaling, di sini, semalam.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan Op Pantas (ATIP) kira-kira 1.15 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat risikan, dengan siasatan awal menggunakan panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0).

Beliau berkata, seramai 14 wanita warga asing berusia antara 18 hingga 36 tahun diselamatkan JIM.

“Mangsa membabitkan 10 wanita warga Bangladesh, tiga India dan seorang Indonesia.

“Difahamkan, ada mangsa mendakwa ‘dijual’ oleh teman lelaki selepas berpisah sebelum dieksploitasi untuk kegiatan pelacuran di premis itu.

“Ketika serbuan, terdapat beberapa pelanggan yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi,” katanya semalam.

Wan Mohammed Saupee berkata premis itu dipercayai beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam dan menerima pelanggan secara walk-in.

Tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Turut ditahan, 16 pelanggan lelaki yang berada di dalam premis semasa serbuan, terdiri daripada sembilan warga Nepal, dua Bangladesh dan lima Myanmar.

“Setiap pelanggan dipercayai dikenakan bayaran kira-kira RM60 bagi mendapatkan khidmat pelacuran yang ditawarkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top