DUA kelab elit Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea bakal berentap dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab 2025 yang julung kali dianjurkan dengan format baharu membabitkan 32 pasukan, sekali gus menutup tirai kejohanan penuh drama yang berlangsung di Amerika Syarikat.
Perlawanan di Stadium MetLife, New Jersey dijangka berlangsung dalam cuaca panas terik, melengkapkan kempen penuh kejutan termasuk penyingkiran awal Manchester City dan Inter Milan oleh pasukan bukan pilihan, Al Hilal dan Fluminense.
Walaupun berdepan kritikan berhubung jadual padat dan faktor cuaca, kejohanan sulung ini berjaya mempamerkan aksi berintensiti tinggi dan persaingan sengit yang disamakan dengan kehangatan Piala Dunia.
PSG yang kini tampil dengan wajah baharu di bawah kendalian Luis Enrique, membuktikan kematangan mereka apabila melangkah ke pentas final dengan rekod cemerlang β tujuh kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir tanpa dibolosi sebarang gol.
Gaya permainan menekan tinggi dan serangan pantas diterapkan Enrique terbukti ampuh, seperti dipamerkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Real Madrid di separuh akhir.
PSG yang baru meraih kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama bulan lalu, kini mengintai kejuaraan dunia pertama dalam sejarah kelab.
Enrique pula mencatat rekod sempurna dalam semua 11 perlawanan akhir kalah mati di peringkat kelab yang pernah disertainya.
Skuad Les Parisiens yang kini lebih muda dan dinamik selepas era Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe, menampilkan barisan pemain seperti Vitinha yang mengawal tempo di tengah, serta kelincahan Nuno Mendes dan Achraf Hakimi di bahagian sayap.
Ousmane Dembele pula mencuri tumpuan di jentera serangan dengan sumbangan jaringan penting dan bantuan gol, sekali gus mengukuhkan pencalonannya untuk Ballon dβOr.
Chelsea pula tampil sebagai pencabar berbahaya meskipun tiba di kejohanan ini hanya sebagai juara Liga Konferensi Europa selepas kempen domestik yang hambar musim lalu.
Pengendali baharu, Enzo Maresca, berjaya merubah nasib The Blues di kejohanan ini dan kini berpeluang membuktikan kredibilitinya setelah prestasi kelab yang dibarisi pemain bernilai lebih β¬1 bilion sering dipertikaikan.
Kemasukan Joao Pedro di pertengahan kejohanan memberi impak segera apabila penyerang Brazil itu meledak dua gol menentang Fluminense dalam separuh akhir, manakala Cole Palmer terus menunjukkan kematangan selaku penggempur utama.
Gandingan tengah Enzo Fernandez, Romeo Lavia dan Moises Caicedo pula memainkan peranan penting dalam membentuk keseimbangan antara bertahan dan menyerang, menstabilkan permainan pasukan sepanjang kejohanan.
Perlawanan akhir dijangka sengit dengan kedua-dua kelab bertekad membawa pulang trofi edisi sulung, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai kuasa baharu bola sepak global menjelang Piala Dunia 2026 yang turut dianjurkan di bumi Amerika Utara.