Thailand sedia terima Malaysia jadi orang tengah.

Thailand sedia terima Malaysia jadi orang tengah.
Stesen Minyak PTT musnah akibat serangan artileri Kemboja di Sisaket, Thailand. - AFP

Stesen Minyak PTT musnah akibat serangan artileri Kemboja di Sisaket, Thailand. – AFP

BANGKOK – Thailand menyatakan kesediaan untuk menerima peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian rundingan terhadap konflik berdarah dengan Kemboja, menurut jurucakap Kementerian Luar negara itu pada Jumaat.

Kedua-dua negara jiran itu kini terlibat dalam pertempuran paling sengit dalam lebih sedekad dengan tembakan artileri dan serangan darat berlaku di kawasan sempadan sepanjang 800 kilometer yang dipertikaikan.

Krisis berkenaan bakal dibentangkan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, sementara kuasa-kuasa besar dunia turut mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan dan rundingan diadakan.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, Bangkok terbuka kepada rundingan, termasuk dengan bantuan Malaysia.

“Kami bersedia, sekiranya Kemboja mahu menyelesaikan isu ini melalui saluran diplomatik iaitu sama ada secara dua hala atau melalui Malaysia dan kami sedia melakukannya. Namun setakat ini belum ada maklum balas,” katanya kepada AFP.

Malaysia kini memegang kerusi Pengerusi ASEAN di mana Thailand dan Kemboja turut menjadi anggota.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebook lewat malam Khamis berkata, beliau telah menghubungi Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Beliau menyeru kedua-dua pihak menghentikan pertempuran dan mencari penyelesaian diplomatik.

“Saya mengalu-alukan isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan oleh Bangkok dan Phnom Penh untuk mempertimbangkan laluan ini,” katanya.

Menurut Nikorndej, dalam perbualan tersebut, Anwar cuba meneroka “sama ada kita boleh redakan keadaan… dan sama ada ada kemungkinan untuk mengadakan rundingan.”

Namun begitu, pertempuran artileri dilaporkan berterusan pada Jumaat, hari kedua berturut-turut, dengan Phumtham memberi amaran bahawa pertempuran itu boleh berkembang menjadi peperangan. – AFP

Scroll to Top