Penganjur janji takkan ulangi kesilapan

Penganjur janji takkan ulangi kesilapan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berjanji akan memperbaiki kesilapan agar apa yang berlaku pada Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza tahun lalu tidak akan berulang lagi.

Ini jaminan penganjur Konsert Intifada Rabbani iaitu Universe Gateway untuk konsert yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, September ini.

Timbalan Pengerusinya, Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kelemahan dan akan menyediakan satu prosedur serta sistem yang teratur supaya konsert berkenaan berjalan lancar.

“Pihak kita ambil maklum mengenai kegusaran peminat rentetan isu penganjuran konsert sebelum ini. Namun, ingin saya maklumkan isu itu sudah pun selesai.

“Insya-Allah untuk konsert Rabbani ini kami akan lakukan penambahbaikan. Kami tidak janji akan 100 peratus sempurna, namun kami akan berusaha meminimakan kesalahan.

“Rabbani sudah sedia maklum mengenai isu sebelum ini, kami sudah beri satu SOP yang jelas kepada mereka. Kali ini tempat tertutup dan harap masalah dapat diatasi,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Intifada Rabbani di Ruema Cafe & Event, hari ini.

Terdahulu, kontroversi timbul apabila Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza mendapat maklum balas daripada pengunjung yang hadir termasuk di media sosial.

Antara yang dibangkitkan adalah masalah tempat duduk yang tidak sistematik sehingga menimbulkan kekecohan. Malah, ada pembeli tiket kategori VIP terpaksa duduk di zon yang lebih murah disebabkan kecuaian penganjur.

Zambri berkata, pihaknya sudah menyelesaikan krisis yang berlaku selepas dihubungi pihak yang menjadi mangsa.

“Ada beberapa yang sudah menghubungi kami berhubung isu itu, kami juga sudah memulangkan sejumlah wang kepada mereka yang membuat aduan sebagai ganti rugi.

“Pihak kami juga tidak pernah melarikan diri dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

“Kami berharap, dengan penambahbaikan yang dibuat dapat meraih semula kepercayaan orang ramai serta memulihkan semula kredibiliti syarikat,” katanya.

Sementara itu, anggota Rabbani iaitu Azadan berkata, mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjur yang didakwa bermasalah demi menjaga nama baik Rabbani.

“Pihak kami sedia maklum mengenai masalah yang terpalit dengan syarikat ini, namun kami tidak mahu fikir perkara yang sudah lepas.

“Demi menjaga nama baik dan tidak mahu berdepan perkara berbangkit pada masa akan datang, kami meletakkan syarat kepada penganjur. Antaranya, mempunyai perancangan lain atau plan B sekiranya tiket konsert tidak terjual.

“Saya percaya untuk memastikan konsert ini berjalan lancar, perlu ada sistem yang teratur dan bersepadu,” katanya.

Konsert Intifada Rabbani bakal diadakan pada 20 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Konsert ini bakal melakar sejarah buat Rabbani apabila tampil dengan persembahan solo terbesar selepas hampir tiga dekad dalam industri seni muzik tanah air.

Tiket akan mula dijual pada 31 Julai ini di platform Ticket2u dan Fantopia.io

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top