'Tiada masalah kongsi pentas dengan yang lain' – Lola XPDC

'Tiada masalah kongsi pentas dengan yang lain' – Lola XPDC

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan ‘otai’ era 1980-an, XPDC yang dibarisi Izo sebagai pemain gitar, Lola (dram), Eddie (basis), Zul Mamu (vokalis) dan Ariff (gitar) bersedia untuk beraksi sepentas dengan semua ahli kumpulan itu.

Izo atau Mohd Zulkifly Nik Hussin, 61, menyifatkan walaupun mungkin dilihat sebagai persaingan antara kumpulan, namun secara tidak langsung ia membantu menunjukkan bukti kualiti pemuzik sebenar.

“Bila perkara ini jadi persaingan dan ada tiga (kumpulan XPDC), hanya satu pemuzik asal atau ‘original’ yang akan main muzik yang bagus dan ada juga tidak berapa bagus.

“Jadi, ia akan keluarkan segala-galanya. Pada saya, marilah kita buat satu ‘show’ sekali di atas satu pentas untuk siapa yang gelarkan mereka itu XPDC juga.

“Malah, kita panggil pengadil yang hebat datang sekali untuk bagi markah,” katanya ketika ditemui media pada sidang akhbar sempena Konsert XPDC Metalkestra yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November depan.

Dakwa Izo, memang ada pihak yang memberi tawaran untuk penganjuran konsert XPDC bersama kumpulan lain yang menggunakan jenama sama, tetapi dengar ada pihak yang tidak mahu, termasuk meletakkan harga tak masuk akal agar persembahan itu tidak jadi.

Lola pula berkata, sebenarnya perancangan untuk semua kumpulan yang menggunakan nama XPDC berkumpul dalam satu ‘show’ sudah lama diperkatakan, tetapi masih tidak jadi kenyataan.

“Sudah lama pun sebenarnya kami tahu mengenai jemputan itu (buat persembahan bersama) dan kami okay sahaja. Tapi, kami juga ada dengar cerita juga, mereka di sana yang tak mahu.

“Apapun, tak kisahlah yang mana-mana pun (kumpulan XPDC). Tapi, memang daripada pihak mereka yang cakap perancangan itu tak mungkin. Itu yang mereka pernah cakap dan ada rekod.

“Sejujurnya, kami tiada masalah untuk sepentas dengan yang lain. Ini kerana kami bukan nak bersaing (sesama sendiri) pun. Kami hanya mahu bermain muzik secara sihat.

“Kami (XPDC) bukan mahu cakap yang kita ini bagus, Sebab, kalau rasa bagus, ada lagi yang lebih bagus. Bagaimanapun, muzik bukan untuk dipertandingkan sebenarnya,” kata Lola, 52.

Terdahulu, anggota XPDC Kita Peng Yu (KPY) iaitu Zuar pernah memberi bayangan untuk penganjuran Konsert Family XPDC sebagai pentas impian yang mahu menyatukan kembali semua anggota lain.

Walaupun belum dimuktamadkan lagi, idea konsert berskala besar di Kuala Lumpur itu dikatakan begitu menarik minat beberapa penganjur yang berhasrat menjadikan pertemuan semula itu sebagai realiti.

Konsert itu turut dijangka menyatukan kerjasama dengan semua individu yang pernah terbabit dalam perjalanan XPDC sejak awal penubuhan hingga kini, termasuk anggota asal, pemuzik jemputan dan kru belakang tabir.

XPDC ketika ini wujud dalam dua kumpulan berbeza dan XPDC Kita Peng Yu (KPY) dibarisi oleh Zuar (basis), Amy (dram), Jeff (gitar) serta Ary (vokalis) menggantikan Allahyarham Mael.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top