'Telefon Fattah dah 'unlock' lah' – Amira

'Telefon Fattah dah 'unlock' lah' – Amira

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tahu ‘password’ (kata kunci telefon pintar) atau tak tahu ke, pada saya tiada isu pun,” kata penyanyi, Amira Othman, 32.

Amira berkata demikian ketika diminta mengulas video yang tular di TikTok apabila dirinya dikatakan ‘kantoi’ kerana mengetahui kata kunci telefon pintar milik pelakon yang juga ‘rakan sekerjanya’, Fattah Amin, 35.

Amira berkata, sebagai rakan yang sudah lama bekerjasama, mereka juga selesa dan profesional ketika bekerja.

“Bagi saya tidak ada isu pun saya pegang telefon Fattah sebab ketika sesi siaran langsung itu, kami hanya tengok komen orang ramai saja.

“Kami tidak pegang telefon untuk tengok urusan ‘ personal’ (peribadi) dan tidak ganggu privasi Fattah begitu juga sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan semula butik Amber di Wangsa Walk Mall, di sini.

Ditanya dakwaan dirinya mengetahui kata laluan telefon pintar Fattah, Amira berkata, apa yang berlaku itu hanya salah faham sahaja.

“Saya nak beri penjelasan di sini mengenai perkara itu. Selepas saya tengok semula video itu, bukan saya yang buka kata laluan Fattah sebaliknya masa dia beri telefon itu dalam keadaan ‘unlock’ (tidak dikunci).

“Jadi bila soalan tu ditanya peminat, saya pun tertanya-tanya semula kerana saya tak buka kata laluan itu dan saya juga tanya semula pada orang ramai sama ada saya ada buka kata laluan telefon pintar Fattah?

“Saya pun tak perasan dan bila tengok balik video itu baru saya teringat saya tak buka pun kata laluan telefon Fattah itu,” katanya.

Sementara itu, Fattah berkata, sebagai rakan sekerja mereka berdua juga sangat menjaga dan menghormati privasi masing-masing.

Katanya, dia meminjamkan telefon yang sudah dibuka (unlock) kepada Amira yang mahu melihat lirik lagu duet Dua Insan Bercinta ketika sesi ‘live’ berkenaan.

“Waktu itu, Amira nak tengok lirik lagu dan saya pun tengah ‘google’ dan bila dia nak pinjam telefon, saya pun bagilah dan memang dah buka pun.

“Sama juga macam sebelum ini, saya pegang telefon Amira ketika sesi siaran langsung butik Amber dan ada yang perasan saya tersalah pegang telefon Amira sedangkan waktu tu saya nak tengok komen orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Amira dan Fattah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa selepas pelakon itu bercerai dengan pelakon, Nur Fazura tahun lalu.

Sejak bekerjasama dalam muzik video single baharu Amira berjudul Bila Nak Kahwin, pasangan ini sering dilihat bersama kerana komitmen kerja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top