Cincinnati: Pilihan utama Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz mengetahui laluan masing-masing menuju ke potensi pertembungan final keempat berturut-turut selepas undian Terbuka Cincinnati diumumkan, semalam.
Kejohanan siri ATP Masters 1000 selama 12 hari yang diperluas ini akan bermula esok, hari yang sama dengan final Terbuka Bank Nasional yang berlangsung di Toronto.
Daripada tiga kejohanan terakhir mereka sertai, Sinner dan Alcaraz berentap di final dengan Alcaraz menang di Rome dan Roland Garros sebelum Sinner menamatkan rentetan lima kekalahan berturut-turut menentang pemain Sepanyol itu pada final Wimbledon. Mereka kini bersaing rapat dalam perebutan gelaran pemain nombor satu dunia akhir tahun ATP.
Juara bertahan Sinner akan memulakan kempen menentang pemain kelayakan atau pemain ranking ke-80 dunia dari Republik Czech, Vit Kopriva.
Juara bertahan Nitto ATP Finals itu dijangka berdepan pemain muda Kanada yang memiliki servis kencang, Gabriel Diallo, di pusingan ketiga, pilihan ke-13 dari Amerika Syarikat Tommy Paul dalam pusingan keempat, dan rakan senegara dari Itali Lorenzo Musetti pada suku akhir.
Pilihan kedua Alcaraz, yang tewas kepada Novak Djokovic pada final 2023 yang dianggap antara perlawanan tiga set terbaik dalam sejarah ATP Masters 1000, akan bermain perlawanan pertama menentang pemenang antara pemain Itali Mattia Bellucci dan pemain Bosnia dan Herzegovina, Damir Dzhumur.
Alcaraz yang kini mencatatkan kemenangan perlawanan terbanyak musim ini dengan 48 kemenangan dijangka bertemu pemain Belanda Tallon Griekspoor di pusingan ketiga, juara Miami Jakub Mensik dalam pusingan keempat, dan pilihan keenam dari Australia, Alex de Minaur pada suku akhir.
Pilihan keempat Taylor Fritz, yang berada dalam bahagian undian sama dengan Sinner akan membuka aksi menentang juara Cincinnati 2022 dari Croatia, Borna Coric, atau pemain Australia, Christopher O’Connell.
Pilihan ketiga Alexander Zverev, yang mara ke separuh akhir di Toronto, berada dalam bahagian bawah undian bersama Alcaraz.
Dia akan berdepan pemenang antara pemain veteran Perancis Gael Monfils dan pemain wild card dari Amerika Syarikat, Nishesh Basavareddy di pusingan kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd