
Konflik dalaman Sentebale terdedah kepada umum selepas dakwaan dibuat Chandauka (kiri) terhadap Harry. – Foto Agensi
LONDON – Badan pemantau badan amal Britain pada Rabu menggugurkan tuduhan buli yang dilemparkan terhadap Putera Harry selepas perselisihan tercetus dengan yayasan diasaskan beliau.
Harry kembali terpalit kontroversi selepas Pengerusi badan amal Sentebale, Sophie Chandauka mendakwa anak bongsu pemerintah Britain, Raja Charles III itu melakukan perbuatan tersebut.
Beberapa hari sebelum insiden itu, Harry dan pengasas bersama Putera Seeiso dari Lesotho turut meletak jawatan selepas pemegang amanah juga mengambil keputusan sama setelah Chandauka enggan berundur.
Siasatan dilakukan selama beberapa bulan oleh Suruhanjaya Badan Amal itu tidak menemui sebarang bukti berlakunya perbuatan buli secara sistematik di yayasan berkenaan.
“Pertikaian dalaman yang didedahkan kepada umum ini sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi Sentebale. Ia juga perlu menangani kelemahan dalam tadbir urus,” ujarnya.
Duke of Sussex tersebut menubuhkan yayasan tersebut pada 2006 sebagai memperingati mendiang ibunya, Puteri Diana dan bertujuan membantu penghidap HIV dan Aids di Lesotho serta Botswana. – AFP
Â