Memori terindah Kritchanya

Memori terindah Kritchanya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima pemain golf wanita Thailand menguasai hari terakhir pusingan kelayakan ASEAN Kejuaraan Maybank 2025 sekali gus bakal beraksi di Kejohanan Golf Maybank 2025 yang berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November depan.

Wakil Thailand, Kritchanya Kaopattanaskul menjadi pemain tumpuan apabila menampilkan aksi cemerlang untuk mengungguli saingan tujuh bawah par 144 untuk mendapatkan 136 pukulan keseluruhannya.

Pada hari pertama, Kritchanya pemain paling menonjol apabila berjaya mendapatkan lima di bawah par 72 untuk 67 pukulan dan hari kedua, meskipun sedikit menurun prestasinya tetapi tetap melakulan dua di bawah par untuk 70 pukulan.

Bagi pemain berusia 17 tahun itu, biarpun ini kali pertama dirinya beraksi di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC),Bukit Kiara, ternyata ia membawa tuah untuk dia termasuk berjaya melakukan hole-in-one pada hari pertama semalam.

“Saya cukup gembira kerana berjaya muncul selaku pemenang di tempat pertama pada sesi kelayakan hari ini. Saya suka beraksi di sini dan ia akan menjadi memori terindah untuk saya kerana buat pertama kali dalam karier melakukan hole-in-one.

“Saya berharap pada kejohanan Oktober nanti, saya dapat melakukan dengan lebih baik bagi mendapatkan kedudukan terbaik,” katanya pada sidang media di KLGCC, di sini, hari ini.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Achiraya Sriwong menamatkan permainan di tempat kedua dengan lima di bawah par untuk skor keseluruhan 139 pukulan dan Namo Luangnitikul pula mendapatkan 144 pukulan untuk berada di kedudukan ketiga.

Selain itu dua lagi wakil Thailand, Cholcheva Wongras dan Kan Bunnabodee berkongsi kedudukan tempat keempat dengan dua di atas par dengan skor 146 pukulan.

Pada perkembangan sama, wakil negara, pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Ng Jing Xuen pula mengakui sedikit terkilan apabila gagal berada dalam kelompok lima terbaik untuk beraksi di halaman sendiri tetapi tetap menerima keputusan dengan hati terbuka.

“Saya sudah melakukan yang terbaik dalam dua hari aksi kelayakan ini tetapi nasib tidak menyebelahi saya apabila dibezakan dengan satu pukulan sahaja dengan pemain di tempat lima.

“Saya terima keputusan ini kerana ini sebahagian daripada sukan golf dan saya akan fokus kepada kejohanan akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Jing Xuen dan seorang lagi wakil Malaysia, Genevieve Ling berkongsi untuk berada di tempat keenam keseluruhan selepas melakukan tiga di atas par untuk skor 147 pukulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top