Lelaki ditahan polis disyaki bakar rumah sendiri

Lelaki ditahan polis disyaki bakar rumah sendiri

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki membakar rumah sendiri di Kampung Baru, Sungai Lalang, Bedong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima aduan seorang lelaki berusia 43 tahun selepas menerima panggilan telefon daripada saudaranya pada jam 7 petang semalam memaklumkan rumahnya terbakar.

Beliau berkata, pengadu mengesyaki suspek iaitu adik lelakinya yang berusia 39 tahun itu mengamuk dan membakar rumah berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, pengadu dan suspek tinggal bersama di rumah itu bersama seorang lagi abang mereka.

“Rumah yang musnah dalam kebakaran itu adalah binaan papan dan bata menyebabkan kebakaran turut merebak ke rumah jiran.

“Hasil soal siasat awal, suspek yang tidak bekerja itu mengaku memulakan kebakaran itu dengan membakar kertas menggunakan pemetik api di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, dua rumah di Kampung Baru, Sungai Lalang musnah dalam kebakaran yang berlaku petang, semalam.

Dalam kejadian itu, anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental berusia 40 tahun.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Naim Mat Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 7.52 petang.

Beliau berkata, operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan dibantu BBP Amanjaya serta tujuh Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan dua unit rumah kelas B yang mana sebuah daripadanya musnah 90 peratus manakala sebuah lagi 70 peratus.

Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki OKU mental yang berada di kawasan kebakaran berjaya diselamatkan oleh anggota dan mangsa tidak mengalami kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top