PENNSYLVANIA: Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) dan Swarthmore College serta ahli jabatan sukan kolej itu telah disaman oleh pelari jarak jauh, Evie Parts dengan mendakwa mereka menyingkirkannya secara tidak sah daripada pasukan olahraga kerana dia merupakan seorang atlet transgender.
Saman Parts menyatakan bahawa larangan NCAA kepada atlet transgender dalam sukan wanita tidak mempunyai asas undang-undang kerana NCAA bukan sebuah organisasi kerajaan dan oleh itu tidak mempunyai bidang kuasa terhadap undang-undang negeri Pennsylvania.
Dia disingkirkan daripada pasukan pada 6 Februari, iaitu hari NCAA mengeluarkan polisi baharu mengenai atlet transgender.
Jurulatih olahraga lelaki dan wanita Swarthmore, Peter Carroll, pengarah olahraga Brad Koch, serta pegawai, Christina Epps-Chiazor dan Valerie Gomez juga dinamakan dalam saman tersebut.
Menurut aduan itu, mereka telah menyebabkan Parts mengalami kemurungan yang mendalam sehingga mencederakan diri sendiri dan pada satu ketika memberitahu rakannya bahawa dia ingin membunuh diri.
“Kami berdiri teguh dengan dakwaan yang dinyatakan dalam aduan tersebut,” kata Susie Cirilli, peguam bersama dari firma Spector, Gadon, Rosen dan Vinci yang mewakili Parts.Â
“Seperti yang dinyatakan dalam aduan, NCAA ialah organisasi swasta yang telah mengeluarkan polisi penuh prasangka. Swarthmore College memilih untuk mengikuti polisi tersebut dan mengabaikan undang-undang persekutuan dan negeri,” katanya lagi.
Namun, NCAA memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.Â
NCAA menukar polisi penyertaan bagi atlet transgender untuk mengehadkan penglibatan mereka dalam sukan wanita kepada atlet yang ditugaskan sebagai perempuan semasa lahir.Â
Perubahan itu dibuat sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang bertujuan mengharamkan atlet transgender daripada menyertai sukan wanita. – AGENSI